Azmin dikejar ke mana sahaja hatta ke ‘lubang cacing’

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7/11/2021 05:21:00 PG

Rakyat Malaysia terus mengejar Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walau ke mana pun beliau pergi, termasuk ke Austria dan Dubai hatta setelah tidak membenarkan lagi sebarang komen dalam media sosial beliau.

Ia umpama kata bidalan Melayu, kejar sehingga ke lubang cacing.

Beliau sentiasa sahaja dipersoalkan oleh rakyat negara ini dengan mendakwa beliau adalah punca kes-kes baharu Covid-19 tidak turun di negara ini.

Mereka mendakwa kementerian pimpinan beliaulah yang membenarkan kilang, industri dan tempat kerja terus dibuka di negara ini sehingga menjadi punca kluster baharu Covid-19.

Ketika beliau tidak lagi membenarkan komen dibuat di media sosial beliau, rakyat negara ini menyerbu laman rakan sejawatnya dari Austria yang menyiarkan pertemuan mereka baru-baru ini.

Ekoran itu, Facebook milik Menteri Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Margarete Schrambock telah diserang oleh rakyat negara ini apabila beliau menyiarkan pertemuannya dengan Azmin semalam.

Sehingga berita ini ditulis, 21,000 komen telah diterima menteri Austria itu yang kebanyakannya dari rakyat Malaysia yang marahkan Azmin sehingga tahap mencadangkan agar kerajaan Austria mengambil Azmin sebagai rakyatnya. [Baca SINI]

Mereka menyerang Azmin di situ dengan mempertikaikan kenapa beliau menutup semua ruang komen dalam media sosial beliau.

Zubaidi Sudin menulis, “#MinCiRIT..Hg tutup ruang komen kan? Mana mau lari hah??”

Walaupun tulisan asal Menteri Austria itu dibuat dalam bahasa Austria, kebanyakan komen yang diterima adalah Bahasa Malaysia yang ditujukan kepada Azmin dan Bahasa Inggeris yang ditujukan kepada menteri Austria itu.

Ada juga rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Austria untuk menyerang Azmin melalui facebook menteri itu.

KENAPA AZMIN DISERANG

Pada 28 Jun lepas, Azmin menafikan sektor pembuatan dan perkilangan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 melibatkan sektor tersebut hanya melibatkan lima hingga 10 peratus.

Namun sehari selepas itu, Kerajaan Selangor mengakui 91% kluster di negeri itu berpunca daripada pekerjaan iaitu 80% kluster perkilangan dan 11% kluster tapak binaan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, mengikut angka dan data terkini sejumlah besar kes saat ini berpunca daripada kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata, sektor pengilangan terus merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi bagi kluster tempat kerja.

Menurut beliau, sehingga 14 Jun, sektor berkenaan telah mencatatkan 95,156 kes melibatkan 639 kluster.

Sumber: MalaysiaDateline