Pakai duit poket sendiri, Hishammuddin boleh 'Abang' menteri luar China

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4/05/2021 09:35:00 PTG
Menteri Luar Hishammuddin Hussein bebas untuk memanggil teman sejawatannya dari China dengan gelaran apa pun jika lawatan delegasi negara ke Beijing itu dibiayai secara peribadi, kata Lim Lim Eng.

Menurut ahli parlimen Kepong itu orang ramai tidak keberatan jika Hishammuddin menzahirkan keakrabannya ke atas Wang Yi, malah dia bebas menggunakan gelaran apa sekali pun kerana ia adalah hak bekas naib presiden Umno berkenaan.

"Tetapi lawatannya itu dibiayai oleh kerajaan, justeru Hishammuddin perlu mengikut protokol diplomasi yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu nama Hishammuddin menjadi perhatian ramai apabila didapati memanggil Wang Yi sebagai elder brother (abang) dalam sidang media bersama di Beijing.

Hal itu kerana ahli parlimen Sembrong itu dianggap merendahkan kedaulatan negara semasa menjalin hubungan diplomasi dengan China yang juga salah satu kuasa besar dunia.

Selepas dikritik ramai Hishammuddin kelmarin menjelaskan panggilan yang diungkapnya bukan merujuk kepada hubungan Putrajaya - Beijing sebaliknya merujuk kepada Wang yang lebih tua dan berpengalaman. 

Menurut Lim Hishammuddin boleh bebas menggunakan gelaran yang mesra jika perjalanan berkenaan dibuat menggunakan duit poketnya sendiri.

Lim juga mengingatkan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah gabungan itu selalu dikecam oleh Umno dan PAS kononnya membela serta menyanjung komunis ketika menjalinkan kerjasama dengan China walaupun atas kapasiti diplomatik.

Namun dalam isu Hishammuddin, katanya, pemimpin kedua-dua parti Melayu itu dillihat senyap dan tidak mempertikai insiden tersebut.

Katanya jika kenyataan seperti Hishammuddin dibuat oleh mana-mana menteri DAP seperti Anthony Loke atau Lim Guan Eng pasti perbuatan itu diselar dengan hebat.

Malah katanya akan wujudnya usaha oleh pihak tertentu untuk mendesak agar kewarganegaraan mereka dilucutkan atau menuntut pendaftaran DAP dibatalkan.

"Apakah dasar menentang komunis yang diperjuangkan mereka (Umno dan PAS) selama ini hanya wayang semata-mata?" katanya. 

Sumber: Malaysiakini