Dr Nur Amalina kahwin lelaki Inggeris

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4/04/2021 05:16:00 PG
Dr Amalina bersama suaminya.

Kuala Lumpur: Pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri mengejutkan raktyat Malaysia selepas mengumumkan sudah berkahwin dengan jejaka pilihan hati di London, United Kingdom (UK) pada 31 Mac lalu.

Harian Metro melaporkan, berita gembira itu dikongsi Dr Amalina menerusi laman sosial Instagram miliknya semalam.

Dr Amalina yang bernikah dengan seorang jejaka Inggeris turut berkongsi dua foto bersama suaminya di entrinya itu.

Difahamkan majlis akad nikah pasangan itu diadakan di London Central Mosque selepas tiga kali terpaksa ditunda akibat perintah berkurung.

“Kami lega kerana dapat mengadakan majlis ringkas yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat (hanya enam tetamu seperti peraturan pihak berkuasa UK).

“Perancangan asal adalah untuk mengadakan majlis resepsi pada Mac (Malaysia) dan Jun (UK) pada tahun ini. Namun, kami terpaksa tunda majlis resepsi sehingga kami yakin semua orang boleh hadir.

“Kami berharap dapat meraikan hari istimewa ini bersama insan tersayang dan rakan nanti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Amalina mengumumkan bertunang dengan jejaka pilihan hati pada 10 Ogos 2020.

Pada Jun 2019, kisah Dr Nur Amalina tular selepas berjaya mengatur pembedahan seorang bayi sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram (g) di mulutnya.

Ainul menderita Germ Cell tumor dan selamat menjalani pembedahan di United Kingdom (UK) pada 2019.