Zahid, isteri miliki 18 kenderaan mewah, mahkamah diberitahu pegawai JPJ

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/05/2021 04:39:00 PTG
Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya, Hamidah Khamis. - Foto Bernama
BERNAMA INFO GRAFIK

KUALA LUMPUR: BMW 320i (A), Audi Q7 dan Mercedes Benz CLS 350 antara 18 kenderaan mewah yang dimiliki bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya, Hamidah Khamis yang kebanyakannya menggunakan nombor pendaftaran 38.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu pasangan itu memiliki 20 kenderaan keseluruhannya, termasuk 8 kereta lain seperti 3 Toyota Vellfire, Lexus LX 460, Lexus, Toyota Land Cruiser, Honda Odyssey dan Chrysler Jeep Wrangler.

Mereka turut memiliki 2 motosikal jenis Harley Davidson, 2 Ducati, 3 BMW, masing-masing sebuah Kawasaki serta Honda C100.

Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zaharudin Zainuddin, 48, ketika merujuk dokumen maklumat kenderaan milik Zahid dan isterinya yang membayar cukai jalan sebanyak RM35,726.80 setahun.

“Saya merujuk dokumen maklumat kenderaan SAB 38 M (Lexus) dan saya mengesahkan nilai cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan tersebut ialah RM5,900.80.

“Saya merujuk dokumen maklumat kenderaan SAB 38 A (Toyota Land Cruiser) dan saya mengesahkan nilai cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan tersebut ialah RM4,366.80,” kata saksi pendakwaan ke-10 itu.

Saksi itu juga membaca satu persatu maklumat terperinci kenderaan dan insurans 19 kenderaan yang didaftarkan atas nama Zahid dan isterinya, manakala sebuah lagi kenderaan didaftarkan atas nama Juhari Janan yang ketika itu ialah pegawai khas Zahid.

Zaharudin berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt pada hari keenam perbicaraan kes Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akal Budi berjumlah jutaan ringgit.

Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

Sumber berita:  Bernama - December 3, 2019

KLIK BACA: Zahid Guna RM1.4 Juta Wang Yayasan Akalbudi Bayar Kad Kredit, Insurans Dan Cukai Jalan - Saksi Ke-99

TERBARU: Syarikat Suap Zahid Tiada Perniagaan Tapi Wang Banyak Keluar Masuk, Kata Pegawai SPRM Kepada Mahkamah