Zahid guna RM1.4 juta wang Yayasan Akalbudi bayar kad kredit, insurans dan cukai jalan - Saksi ke-99

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/11/2021 07:44:00 PTG
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -Foto Astro AWANI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu saksi ke-99 bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana berjumlah RM1.4 juta milik Yayasan Akalbudi bagi pembayaran sembilan kad kredit, insurans kenderaan dan cukai jalan bagi 20 buah kenderaan miliknya.

Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau, 44, memaklumkan perkara itu ketika membacakan penyataan saksi dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fat di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Jelasnya, siasatan SPRM mendapati pembayaran bagi sembilan kad kredit milik Zahid, dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis menggunakan wang Yayasan Akalbudi berjumlah RM1,362,037.81.

"Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi ketiga-tiga kad kredit ini didapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara. Didapati ada pembayaran menggunakan wang Yayasan Akalbudi yang dibayar melalui cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016," jelasnya.

Khairudin memberitahu mahkamah bahawa Zahid mempunyai dua kad kredit Ambank Islamic, dua kad kredit Maybank dan satu kad kredit American Express.

Manakala empat lagi kad tambahan di bawah AmBank Islamic atas nama isterinya Datin Seri Hamidah Khamis.

"Bayaran yang menggunakan wang Yayasan Akalbudi bagi kad kredit AmBank Islamic yang menggunakan cek Afffin Bank Berhad Yayasan Akalbudi dengan jumlah keseluruhan RM1,296,715.98," kata Khairudin.

Manakala bagi kad kredit Maybank pula, Zahid telah membuat pembayaran menggunakan dana milik Yayasan Akalbudi.

"Pembayaran bagi kad ini juga melibatkan pengunaan wang Yayasan Akalbudi melalui cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi. Pembayaran berlaku antara Februari 2014 hingga Mac 2015 dengan jumlah keseluruhan RM34,686.03," katanya lagi.

Bagi kad kredit American Express pula, pembayaran sejumlah RM30,635.80 dana milik Yayasan Akalbudi digunakan Zahid menerusi cek Affin Bank Berhad milik yayasan itu.

Bayaran Insurans dan cukai jalan

Ketika pemeriksaan utama, Khairudin berkata Zahid menggunakan wang milik yayasan itu bagi membayar insurans serta cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, antaranya Toyota Veilfire, BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 3201 (A) dan motosikal BMW R1200 GS.

Katanya lagi, sebanyak RM17,335.54 bagi membayar polisi insurans dan RM7,625.01 bagi bayaran cukai jalan melibatkan enam kenderaan milik Zahid dan isteri menggunakan dana milik Yayasan Akalbudi melalui tiga cek Affin Bank Berhad pada 22 Januari 2015.

"Bagi bayaran kali kedua adalah melalui cek Affin Bank Berhad berjumlah RM43,645.00 yang dibayar pada 15 April 2015.

"Bayaran melibatkan empat buah kenderaan milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebuah kenderaan milik BZ Motors Sdn Bhd dan sebuah kenderaan milik Juhari Janan. Sejumlah RM27,246.90 pula digunakan untuk membayar polisi insurans dan RM16,368.10 adalah bagi bayaran cukai jalan," jelas Khairudin.

Manakala bayaran kali ketiga melalui cek Affin Bank Berhad berjumlah RM38,884.00 pada 22 September 2015 melibatkan lapan kenderaan milik Zahid.

Daripada jumlah itu, RM27,607.11 digunakan untuk membayar polisi insurans dan RM11,276.89 pula digunakan bagi bayaran cukai jalan.

"Jumlah keseluruhan bayaran insurans kenderaan dan cukai jalan adalah RM107,509.55 yang melibatkan tiga kali pembayaran dan melibatkan 20 buah kenderaan milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Juhairi Janan dan Datin Seri Hamidah Khamis," kata saksi.

Penubuhan Yayasan Akalbudi

Dalam pemeriksaan utama, Khairudin turut memaklumkan siasatan SPRM mendapati berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pemegang-pemegang amanah Yayasan Akalbudi, yayasan itu tidak pernah menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sejak ditubuhkan pada tahun 1997.

"Tidak ada apa-apa mesyuarat serta perbincangan rasmi yang direkodkan oleh setiausaha yayasan tersebut berkaitan aktiviti-aktiviti serta laporan kewangan Yayasan Akalbudi.

"Kewangan dan aktiviti ditadbir urus oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri. Pemegang-pemegang amanah itu juga tidak mengetahui siapa penyumbang dana dan berapa jumlah sumbangan diterima oleh Yayasan Akalbudi," katanya lagi.

Sebaliknya kata Khairuddin, pemegang amanah yang lain hanya mengetahui bahawa yayasan itu ada melaksanakan urusan kebajikan khususnya kepada penduduk Bagan Datuk melibatkan sumbangan kepada masjid-masjid dan pusat tahfiz.

Perbicaraan ditangguhkan kira-kira jam 5 petang Khamis dan disambung semula 18 Mac depan.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sumber ihsan: Astro AWANI