Zahid bantah Takiyuddin seolah cabar titah Agong

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/05/2021 04:45:00 PG
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan kenyataan menteri undang-undang Takiyuddin Hassan secara de facto juga boleh dilihat sebagai penghinaan terhadap institusi kerajaan.- Foto FMT

Barisan Nasional (BN) berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan semalam yang Parlimen tidak akan bersidang ketika tempoh darurat seolah-olah mencabar titah Yang di-Pertuan Agong serta menghina institusi raja.

Oleh itu, Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Ahli Parlimen menyeru perdana menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah Agong dengan mengadakan sidang Parlimen dengan segera susulan kelonggaran sekatan pergerakan.

“Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, BN turut merayu Agong menggunakan kuasanya di bawah Ordinan Darurat untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera bagi membincangkan beberapa isu, termasuk mengkaji semula keberkesanan langkah membendung penularan Covid-19, pelaksanaan Belanjawan 2021, memulihkan ekonomi negara dan kestabilan politik.

Katanya, beliau sedia menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyampaikan pandangan berhubung pertumbuhan sosioekonomi negara.

Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata, kenyataan Istana Negara sebelum ini bertujuan menjelaskan tiada persidangan Parlimen.

“Sekarang ini, Jemaah Menteri menasihati Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen,” katanya sambil menambah kerajaan bimbang dengan kesihatan dan keselamatan Ahli Parlimen kerana 77 orang daripadanya berusia 60 tahun ke atas.

Minggu lalu, Sultan Abdullah mengumumkan Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat, pada tarikh yang dianggap sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Takiyuddin amat menghampakan kerana ia bertentangan pandangan dan titah Agong.

Presiden PKR itu turut merayu Agong menitahkan Parlimen bersidang segera bagi membincangkan beberapa isu, termasuk program vaksinasi Covid-19.

Katanya, ia demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan membolehkan Parlimen memainkan peranan untuk memastikan semak dan imbang.

Sumber: Free Malaysia Today