Tengku Zafrul jangan tuduh orang saja, kata ketua Pemuda PKR

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/11/2021 07:16:00 PTG

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak ubah sekadar amalan biasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gemar menuding jari kepada rakyat terhadap sesuatu permasalahan yang berlaku. - Foto FMT

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, tidak wajar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan berhubung perbelanjaan golongan milenial yang melebihi kemampuan mereka.

Beliau berkata, sepatutnya Zafrul fokus mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan mengakar yang kian membimbangkan itu terutama untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

“Kenyataan Tengku Zafrul tidak ubah dari sekadar amalan biasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gemar menuding jari kepada rakyat terhadap sesuatu permasalahan yang berlaku.

“Isu ini tidak wajar dipukul rata seolah-olah orang muda hari ini tidak tahu dan tidak bertanggungjawab dari segi pengurusan kewangan mereka tanpa terlebih dahulu meneliti aspek lain yang menyumbang kepada perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Zafrul menyatakan 40% golongan milenial didapati berbelanja melebihi kemampuan mereka.

Zafrul berkata, menurut Bank Negara Malaysia, sebanyak 47% golongan belia Malaysia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi.

Dalam pada itu, Akmal berkata Zafrul perlu mempunyai sikap empati dalam perkara ini dan meletakkan diri di tempat orang muda.

Katanya, orang muda masa ini sedang bergelut dalam situasi kurangnya peluang pekerjaan, tiada jaminan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, perlu melakukan lebih dari dua kerja dan terpaksa berhadapan dengan bayaran gaji yang tidak berpadanan dengan tanggungan mereka.

“Walaupun tidak dinafikan bahawa kepentingan literasi kewangan dan usaha digerakkan oleh pelbagai agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dalam hal ini, namun ia masih tidak dapat menyangkal isu pokok terutama yang berkaitan dengan peningkatan gaji yang perlahan ditambah dengan kadar gaji minimum yang masih rendah,” katanya. 

Sumber: Free Malaysia Today

KLIK BACA: Zahid Guna RM1.4 Juta Wang Yayasan Akalbudi Bayar Kad Kredit, Insurans Dan Cukai Jalan - Saksi Ke-99