#TamatDarurat: Khalid Samad ke Istana mohon perkenan menghadap Agong

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/26/2021 09:41:00 PTG
oleh Siti Nur Zawani Mison

Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Darurat, Khalid Samad hari ini selesai menyerahkan surat kepada pihak istana untuk memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 9 April ini.

Beliau berkata, majlis menghadap itu bagi menyampaikan hasrat rakyat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya darurat dapat ditamatkan segera.

“Kami bertemu dengan pihak istana untuk menyerahkan surat dari jawatankuasa tamat darurat yang mana dalam surat ini kita mohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 9 April, atau 12 April atau mana-mana tarikh yang ditetapkan pihak istana.

“Kita harap akan diberikan perkenan untuk sampaikan hasrat rakyat, supaya darurat yang sebenarnya tidak ada sebab dan alasan ianya diisytiharkan, ditamatkan,” katanya di hadapan pintu Istana Negara hari ini.

Khalid turut mendakwa, sepanjang tiga bulan darurat diisytiharkan, tiada satu pun tindakan kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 yang dilihat memerlukan kuasa darurat untuk dilaksanakan.

Terdahulu, Khalid bersama sekumpulan individu dari pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (Ngo) telah menubuhkan laman sesawang tamatdarurat.com seiring dengan penubuhan jawatankuasa tamat darurat pada 12 Mac lalu.

Laman berkenaan ditubuhkan bagi mengumpulkan tandatangan orang ramai untuk merayu Yang di-Pertuan Agong agar pengisytiharan darurat dapat ditamatkan.

Sehingga hari ini, petisyen berkenaan berjaya mengumpul hampir 18,000 sokongan rakyat Malaysia.

Sumber berita: Malaysia Dateline