Sultan Selangor dukacita ada orang Islam mahu murtad

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/17/2021 08:47:00 PTG
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita terhadap tingkah laku segelintir umat Islam yang disifatkannya sebagai mengugut untuk keluar Islam apabila berdepan sesuatu masalah.

Perkara itu disampaikan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Munir berkata, baginda dukacita kerana tindakan sebegitu boleh mengakibatkan seseorang tergelincir daripada akidah Islam.

"Sultan Selangor melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam di negara kita khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan akidah dan keislaman mereka.

"Baginda menegaskan apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama Islam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya akidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari Islam.

"Sehubungan dengan itu tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah," katanya.

Sultan Sharafuddin juga menasihatkan agar umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada akidah dan menjaga agama "dengan baik dan penuh kesabaran, dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa atau kepayahan".

Malaysiakini melaporkan meskipun kenyataan itu tidak merujuk mana-mana individu bagaimanapun usahawan selebriti Nur Sajat Kamaruzzaman baru-baru ini mengejutkan ramai pihak dengan berkata dia tidak mahu lagi kekal sebagai penganut Islam.

Ia susulan kekecewaannya dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung pertuduhan kes berpakaian wanita terhadapnya.

Dia disiasat Jais mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 berhubung satu majlis doa selamat dan Yasin dan diminta hadir ke pejabat agama untuk memberi keterangan.

Mohamad Munir berkata lagi, Sultan Selangor juga bertitah yang tindakan pihak berkuasa agama termasuk Jais yang menguat kuasa undang-undang adalah proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang dan mereka sentiasa terbuka untuk perbincangan.

"Malah Baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Mais dan Jais hendaklah selaras dengan prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

"Kita sebagai umat Islam dan rakyat di Negara ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosedur yang telah digariskan di bawah undang-undang," titah baginda lagi.