Sultan Johor dukacita isu kalimah Allah, mahu Putrajaya rayu mahkamah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/21/2021 12:14:00 PG
Sultan Johor mahu Putrajaya membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah. — Foto ehsan Facebook

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Sultan Johor mahu kerajaan pusat membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam kitab Kristian.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan itu.

"Selaku ketua agama Islam di negeri Johor, saya menyeru kepada kerajaan persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding ini.

"Malah, saya akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan ini," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menyatakan kekecewaannya terhadap isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud sebenar.

Titahnya, perkara itu boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian rakyat Johor.

"Fatwa negeri Johor telah diwartakan oleh kerajaan Johor pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa 'penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang'.

"Fatwa ini bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agama Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan," titahnya.

Menurut baginda, Johor mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan yang dibenarkan oleh perundangan.

Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mac lalu memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Turut dibenarkan penggunaan tiga perkataan Arab yang lain iaitu 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat'.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut melalui notis yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Sumber: The Malay Mail 

#sultanjohor #royalpressoffice #johor

Posted by Sultan Ibrahim Sultan Iskandar on Wednesday, March 17, 2021