Sukar bersihkan peninggalan Pakatan Harapan, kata Hadi Awang

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/08/2021 07:05:00 PTG
Abdul Hadi Awang menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan selepas beliau menjadi Duta Timur Tengah kerajaan Perikatan Nasional - Foto Sinar Harian

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sukar untuk membersihkan peninggalan atau kecamuk yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam 22 bulan pemerintahan singkat mereka.

Abdul Hadi mendakwa, PH membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan mereka yang pendek.

“Bak kata orang-orang tua, hendak membaiki itu lebih susah daripada hendak merosakkan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebooknya.

Ahli Parlimen Marang itu menyatakan perubahan kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN) dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan langkah paling tepat tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang.

“Ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat yang tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera serta tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas,” katanya.

Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, apa yang berlaku adalah perubahan atau pertukaran kerajaan yang bersih.

Beliau pada masa sama menyatakan ketika PH sedang bergaduh siang dan malam, mereka sebaliknya bekerja.

“Kejayaannya berusaha mengambil yang jernih dan menolak yang keruh. Kami menerima rakan yang keluar daripada kolam PH yang dikeruhkan airnya oleh tangan-tangan mereka sendiri yang saling bercakaran,” katanya.