Saya lebih senior dari Presiden Umno Zahid, jangan pertikai, kata Annuar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/28/2021 08:54:00 PTG
Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa mengingatkan pengkritiknya agar tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada parti itu hanya disebabkan pandangan yang berbeza dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Tanpa takbur, tanpa riak, saya nyatakan, saya lebih senior daripada presiden Umno. Waktu saya menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) tahun 1990, presiden Umno belum menjadi ahli MT.

“Waktu saya menjadi anggota jemaah menteri dalam kabinet Dr Mahathir, presiden Umno belum menjadi ahli jemaah menteri.

“Jadi jangan pertikaikan soal kesetiaan saya. Cuma mungkin, pandangan saya atau pun strategi politik saya mungkin berbeza dengan presiden.

“Tapi belum tahu lagi, strategi siapa yang lebih ampuh bagi nak memenangkan parti kita,” katanya dipetik Malaysiakini dalam wawancara Bicara Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang disiarkan di Facebooknya.

Kata Annuar, meskipun berselisih faham dalam parti, ia hanya melibatkan percanggahan pendapat semata-mata, dan bukan bermakna mereka bergaduh secara peribadi.

Pun begitu, katanya, Ahmad Zahid tidak perlulah menyembunyikan perkara tertentu daripada pengetahuan ahli parti.

Ini termasuklah, katanya, sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim menerusi sepucuk surat, yang menurutnya bukan surat palsu.

Selain itu, dia turut membangkitkan perhitungan yang turut melibatkan DAP termasuk di Perak, dipercayai merujuk pembentukan kerajaan negeri Perak baru Dis tahun lalu.

“Boleh bersembunyi dengan orang lain. Tapi tak usahlah bersembunyi dengan saya. Tak perlulah saya tampil ke hadapan, kerana itu tak manis untuk kita bertelagah sesama sendiri. Tetapi, yang penting, berkata benar. Jangan menafikan. Ada perjumpaan berunding dengan DAP, PKR." kata Annuar.

Dalam ucapan dasar presiden di PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini, Ahmad Zahid menegaskan Umno tiada sebarang rundingan dengan mana-mana pihak, baik secara rasmi mahupun tidak yang merujuk kepada Anwar, DAP atau pun Bersatu.

Menurut Malaysiakini, kenyataan itu berbeza dengan pendedahan Anwar sendiri pada 18 Mac lalu yang mengaku ada pertemuan dengan beberapa tokoh Umno, meskipun tiada komitmen kerjasama diputuskan menuju PRU-15.

Pada Jan lepas, Annuar mendedahkan mengenai apa yang dirujuknya sebagai perakuan bertulis daripada Ahmad Zahid yang menyatakan sokongannya kepada Anwar.

Menurutnya, akuan itu dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid dan Annuar saling berselisih pendapat soal kerjasama antara Umno dan Perikatan Nasional.

Ahmad Zahid - disokong Majlis Tertinggi Umno - mahu memutuskan kerjasama itu menjelang PRU-15, manakala Annuar pula mahu kerjasama antara tiga parti Melayu utama - Umno, PAS, dan Bersatu - diteruskan bagi mencapai kemenangan dalam PRU-15. 

Pada masa sama, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilapor Malaysiakini mencabar seorang menteri Umno meletakkan jawatan dalam kabinet.

Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai 'makkhluk perosak', Zahid juga mendakwa menteri berkenaan 'menikam' Umno dari belakang.

"Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tak ada di pentas ni tapi menikam Umno dari belakang.

"Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, petang ini.

Meskipun Zahid tidak menamakan sesiapa, jelas ucapannya merujuk kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Umum mengetahui hubungan kedua-dua pemimpin itu "retak" selepas parti itu memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.

Zahid secara sinis berkata menteri berkenaan "sedang geli secara maksimum" dengan jawatan yang disandangnya kini.

"Bila 'ghanimah' dan jawatan yang jadi kegelian maksimum, mereka harus sedar tanpa kita perwakilan dan akar umbi, kita tak kan rasa kedudukan sebagai menteri semula.

"Saya yakin rakan-rakan yang jadi menteri yang ada di atas pentas atau di bawah atau tak jadi perwakilan, saya amat yakin sesungguhnya mereka ahli parti, pendokong parti, orang yang setia pada parti," katanya dipetik Malaysiakini.