PPBM ‘ular lidi’ berangan telan ‘ular sawa’ UMNO, sindir Zahid

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/28/2021 02:15:00 PTG
Zahid Hamidi semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2020. - Foto Malay Mail 

KUALA LUMPUR: Umno memutuskan hubungan dengan PPBM kerana parti itu melakukan terus melakukan pelbagai muslihat politik dalam cubaan untuk menghancurkan Umno, kata Ahmad Zahid Hamidi.

“Semua ahli Umno sedar, bahawa PPBM tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya, dan tidak mempunyai sokongan akar umbi.

“Namun, hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti. Termasuklah muslihat politik ketika kita menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah,” kata Zahid semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2020.

Beliau berkata melihat keadaan itu, saf kepimpinan Umno menolak kerjasama dengan PPBM setelah “kita sedari ketidakjujuran muslihat politik yang dilakukan oleh mereka terhadap Umno.”

Zahid berkata tidak timbul soal beliau menggunakan kuasa veto presiden parti untuk mencapai keputusan itu. Beliau menyifatkannya sebagai tuduhan melulu kerana perlembagaan Umno tidak memperuntukan kuasa sedemikian.

Free Malaysia Today menyusun petikan menarik lain ucapan dasar presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung Umno 2021.

Darurat dan PRU15

Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat. Proklamasi darurat dibuat atas alasan untuk memerangi Covid-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar. Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu.

Mereka memberi pelbagai alasan supaya persidangan Parlimen tidak diadakan. Sedangkan Parlimen itu teras demokrasi negara. Rakyat amat berharap dengan adanya vaksinasi yang sedang dilaksanakan, Parlimen harus bersidang dan PRU-15 jangan ditangguhkan.

Pelarasan politik negara

Adakah sesuatu yang mustahil untuk Umno dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini?

Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah “unity government” demi kestabilan politik negara.

Umno sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti. Namun, terlebih dahulu Umno wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan.

Musuh dalam selimut Umno

Kita menolak pembelot dan pengkhianat. Kita tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti. Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan ghanimah ditukar dengan maruah diri. Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?

Sedarlah, politik ini ditentukan oleh kluster rakyat. Bukan “kluster gila kuasa”, bukan “kluster broker”, bukan “kluster oportunis” atau “kluster lompat pagar”. Bukalah minda dan berfikir dua tiga tapak ke hadapan, demi masa depan anak cucu kita.