Polis tawar diskaun saman 50 peratus guna portal apps MyBayar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/25/2021 06:10:00 PTG
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman sehingga 50 peratus jika pesalah trafik membuat bayaran melalui portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman bermula hari ini sehingga 14 April depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pembayaran menerusi portal dan aplikasi itu membolehkan orang ramai membuat pembayaran saman secara dalam talian.

"Menerusi portal dan aplikasi ini, orang awam dapat melakukan pembayaran tanpa perlu beratur dan bersesak di kaunter bayaran sedia ada.

"Bagaimanapun, pemberian diskaun ini dikecualikan ke atas beberapa kesalahan termasuk melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju ditetapkan, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran portal dan aplikasi mudah alih

MyBayar Saman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Abdul Hamid berkata, portal dan aplikasi itu akan mengurangkan kebergantungan JSPT kepada kutipan ejen swasta serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan trafik kepada awam memandangkan saman boleh dibayar tanpa had masa dan sebarang caj perkhidmatan.

"Sebaik diaktifkan sejak 12 tengah malam tadi, lebih RM1 juta bayaran saman berjaya dikutip (sehingga jam 2 petang tadi) sekali gus menunjukkan orang ramai mengharapkan satu sistem pembayaran saman yang memudahkan urusan mereka.

"Berdasarkan statistik sejak 1990 hingga 2020, jumlah saman yang dikutip JSPT adalah sebanyak RM6.6 bilion dan bagi tempoh antara 2015 hingga tahun lalu, jumlah saman yang berjaya dikutip pula hampir RM2 billon," katanya.

Katanya, jumlah pungutan saman yang diperolehi itu menunjukkan ramai pengguna jalan raya mahu membayar saman dengan cara mudah (secara dalam talian).

"Kita tidak berbangga dengan jumlah saman yang dikutip berbilion itu, sebaliknya niat PDRM adalah mahu jumlah kesalahan trafik berkurang setiap hari.

"Bagaimanapun, terdapat 32 peratus lagi pesalah trafik yang masih tegar dan tidak menjelaskan tunggakan saman mereka," katanya yang mensasarkan kutipan saman sebanyak RM500 juta pada tahun ini.