Polis siasat suami Zeti berkait dana 1MDB

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/04/2021 12:36:00 PG
Zeti dan suami Tawfiq Ayman - Foto Tun Carlos Blog
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, siasatan dana 1MDB melibatkan keterangan di Malaysia dan luar negara. - Foto Bernama

Polis mengesahkan siasatan terhadap Dato Dr Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz, berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun miliknya di Singapura.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, siasatan melibatkan keterangan di Malaysia dan luar negara.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)9a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

“Memandangkan siasatan ini melibatkan keterangan di Malaysia dan di luar negara, polis mengambil tindakan susulan bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah, bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara,

"Sehubungan itu polis ingin menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan selesai dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara." katanya dalam satu kenyataan.

Portal Free Malaysia Today sebelum ini melaporkan, polis Singapura berkongsi maklumat dengan BNM mengenai transaksi mencurigakan akaun bank milik syarikat suami dan anak Zeti, melibatkan wang daripada syarikat atau akaun bank dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, pada 2015 dan 2016.

Zeti masih gabenor BNM pada 2015 apabila Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) polis Singapura berkongsi maklumat dengan bank pusat itu, mengenai transaksi akaun bank milik Iron Rhapsody Ltd, yang dimiliki Tawfiq, dan seorang anak lelaki mereka, menurut laporan The Edge.

The Edge melaporkan, menurut dokumen yang dikongsi CAP dengan penyiasat Malaysia, Iron Rhapsody, menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Low, pada 2008 dan 2009.

Zeti bersara sebagai gabenor BNM pada April 2016.