Pakar forensik beri keterangan Nazrin meninggal dunia sebelum kebakaran

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/22/2021 09:23:00 PTG
Pakar perunding forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan telah meninggal dunia sebelum kebakaran berlaku di bilik tidur rumahnya.

Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng berkata tiada kecederaan jelaga dan keadaan seperti itu menunjukkan mangsa tidak menyedut udara panas.

"Nampaknya dia (si mati) sudah meninggal dunia sebelum kebakaran," kata saksi pendakwaan ke-46 itu semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanifah.

Semasa membaca keterangan saksinya, Dr Siew yang menjalankan bedah siasat terhadap Nazrin pada 5 petang, 14 Jun 2018 di Jabatan Perubatan Forensik HKL berkata, tidak ada bukti kecederaan hidu larinks atau jelaga di trakea serta laluan udara yang lebih dalam.

Dr Siew berkata demikian dalam perbicaraan kes pembunuhan Nazrin yang dihadapi balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 46, dan dua remaja yang kini berumur 19 dan 16, serta wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi hari berikutnya.

Dr Siew, yang berpengalaman menjalankan lebih 2,000 bedah siasat, juga menyenaraikan 16 tanda kecederaan yang terdapat padai badan Nazrin, merangkumi luka menembus berukuran 5 x 4 sentimeter (cm) di bahagian parietal kiri, luka menembus berukuran 2 x 1 cm di sebelah kanan dahi dan luka menembus berukuran 2 x 1.5 cm di bahagian atas bahagian depan leher.

Saksi juga menunjukkan dan menjelaskan beberapa keping gambar yang diambil semasa bedah siasat yang dipaparkan di skrin di mahkamah.

Lebih 100 keping gambar ditunjukkan kepada mahkamah.

Ketika gambar-gambar itu mula dipaparkan, kakak Nazrin yang berada di ruang mahkamah didengar menangis.

Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung esok.

- Bernama