Norway siasat kesan darah beku selepas suntikan vaksin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/14/2021 10:10:00 PG
Oslo: Norway melaporkan tiga lagi kes pembekuan darah atau pendarahan otak membabitkan golongan muda selepas disuntik vaksin AstraZeneca, namun belum dapat dibuktikan kes itu berkaitan dengan pengambilan vaksin atau sebaliknya.

Agensi Perubatan Norway menjelaskan kejadian sama dilaporkan di negara Eropah yang lain.

Walaupun tiada bukti kes berkenaan mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin, namun individu berusia 50 tahun ke bawah yang berasa tidak sihat atau mempunyai kesan kebiru-biruan selepas suntikan diminta mendapatkan bantuan perubatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiada kematian dikaitkan dengan vaksin dan pembekuan darah, begitu pun Denmark, Norway dan Iceland pada Khamis lalu menangguhkan sementara penggunaan AstraZeneca.

Semalam, Agensi Perubatan Norway menerima beberapa laporan kesan sampingan membabitkan individu daripada golongan muda yang mendapatkan vaksin termasuk pendarahan di bawah kulit iaitu titik kecil atau tompok biru.

"Ini sesuatu yang serius kerana ia simptom pengurangan jumlah platlet darah. Hari ini kita menerima tiga lagi laporan kes serius membabitkan pembekuan darah atau pendarahan otak.

"Ia berlaku dalam kalangan individu lebih muda yang menerima vaksin AstraZeneca. Mereka kini menerima rawatan di hospital," katanya.

Pengarah Kawalan Jangkitan dan Kesihatan Persekitaran di Institut Kesihatan Awam Norway, Geir Bukholm, berkata, agensi itu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan susulan termasuk menyiasat kesan sampingannya selepas mengumumkan penangguhan pengambilan vaksin berkenaan.

AstraZeneca, syarikat Anglo-Sweden yang membangunkan vaksin itu Universiti Oxford, sebelum ini mempertahankan keselamatan produknya.

"Keselamatan vaksin sudah dikaji secara meluas dalam ujian klinikal Fasa III dan data kajian mengesahkan ia secara umum ia selamat," kata jurucakapnya.

- AFP