Najib mungkin diangkat semula, PM ke-9

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/04/2021 02:34:00 PG
Najib pilihan PM ke-9 menggantikan Muhyiddin Yassin menurut kajian UUM MAPAN. - Foto Bernama

Datuk Seri Najib Tun Razak kemungkinan diangkat semula sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Utusan Malaysia melaporkan menurut kaji selidik oleh Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin dan Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis.

Kaji selidik membabitkan 608 responden dalam kalangan orang ramai di platform media sosial itu bermula Disember 2020 hingga Februari lalu.

Mashitah berkata, menerusi kaji selidik itu, Najib memperoleh sokongan 51.5 peratus jauh mening­galkan pemimpin lain se­perti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (14.8 peratus); Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (10.2 peratus) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 9.6 peratus.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula memperoleh sokongan 9.1 peratus; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (2.4 peratus); Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (0.5 peratus) manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya memperoleh sokongan 0.3 peratus dan 0.2 peratus menerusi kaji selidik tersebut.

“Ramai memberi alasan memilih Najib berdasarkan presta­sinya dan merindui peme­rintahan bekas Perdana Menteri itu yang banyak membantu rakyat.

“Ramai berpandangan, Najib juga memperjuangkan isu-isu rakyat ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin - Foto Utusan Digital

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin memberitahu, sekitar 50.6 peratus para pengundi masih suka parti-parti bergabung bertanding dalam PRU membabitkan pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Menariknya, 19.7 peratus res­ponden ingin melihat pertan­dingan satu lawan satu di mana PH di satu pihak bertanding dengan kombinasi PN dan BN,” katanya.

Katanya, hasil dapatan juga mendapati 50.8 peratus menyo­kong BN menentang PN dan PH manakala 19.5 peratus menyokong BN dan PN menentang PH.

“Sekitar 7.1 peratus menyokong BN dengan kerjasama PH menentang PN,” katanya seperti dilapor Utusan. 

Untuk rekod pada 28 Julai, 2020, Najib Razak telah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Keputusan tersebut adalah sabitan pertama Najib yang berdepan puluhan pertuduhan lain dalam skandal syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

Antara kes lain yang sedang dibicarakan ialah berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion, meminda laporan audit 1MDB dan pengubahan wang haram sebanyak RM27 juta milik SRC.