MKN serah polis siasat tetamu dikuarantin dihidang menu babi

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/14/2021 02:10:00 PTG
Seorang individu yang menjalani kuarantin di sebuah hotel di Perak mendakwa mendapat hidangan mempunyai babi. - Foto ihsan pembaca

IPOH: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan individu yang menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di sini, mendapat hidangan yang mempunyai babi.

Pengarahnya, Khairul Ridzuan Mat Said, berkata pihaknya juga sudah sedia maklum berhubung perkara itu.

"Kita sedang menyiasat mengenai kenyataan yang ditularkan oleh individu itu dan pihak kami (MKN) sudah sedia maklum berhubung perkara berkenaan sejak dua hari lalu.

"Kita sudah serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Khairul Ridzuan berkata, secara umum segala urusan berkaitan makanan, penginapan, keperluan asas penghuni adalah di bawah tanggungjawab agensi di pusat kuarantin.

"Jawatankuasa yang bertanggungjawab daripada agensi ini mungkin akan menyemak semula adakah perkara ini benar atau tidak," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang individu yang menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di bandar raya ini mendakwa, mendapat hidangan yang mempunyai babi.

Individu itu yang mengakui sedang menjalani kuarantin di hotel berkenaan mendakwa kakitangan sudah pun sedia maklum sejak dari awal dirinya sebagai 'vegetarian', selain mengesahkan makanan yang dihidangkan hanya ayam.

Dia juga mendakwa, kebanyakan makanan yang disediakan tidak mempunyai label dan mula meragui ayam yang dihidangkan tidak mempunyai rasa seperti ayam.

Individu itu juga terkejut apabila hidangan makan malam tertera tulisan babi dan bukannya ayam seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Sumber: Berita Harian