Mesti bayar gaji MP, Senator walaupun Parlimen tak bersidang - Rais Yatim

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/12/2021 12:17:00 PG
Tugas Ahli Parlimen dan Senator di luar dewan terus berjalan sekalipun Parlimen tidak bersidang, kata Presiden Dewan Negara Rais Yatim. - Foto TTKM.com.my

Gaji dan elaun Ahli Parlimen dan Senator perlu dibayar walaupun Parlimen tidak bersidang kerana tanggungjawab mereka di luar dewan berjalan seperti biasa.

Justeru, Presiden Dewan Negara Rais Yatim berkata, tidak timbul isu Ahli Parlimen atau Senator tidak menjalankan kerja ketika Parlimen tidak bersidang dan gaji mereka perlu dipotong

“Soal YB (Yang Berhormat) tak buat kerja tak timbul kerana 222 Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) dan 66 orang (Senator) di Dewan Negara menjalankan kerja mereka di luar dewan, bukan di dalam dewan. Ini harus diterima.

“Oleh itu tugas mereka di luar dewan terus berjalan. Tidaklah wajar dipotong elaun atau gaji kecuali mereka sendiri mengatakan ‘Potonglah gaji saya sekian banyak’. Ini soal perundangan,” kata beliau dalam program Ruang Bicara bertajuk “Signifikan Parlimen Dalam Pembinaan Negara Bangsa” terbitan Bernama TV malam tadi.

Rais berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang pemanggil mengenai kewajaran gaji dan elaun Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipotong memandangkan Parlimen tidak bersidang buat masa ini akibat perisytiharan Darurat.

- BERNAMA