Menteri Haji Arab Saudi dipecat tiada kaitan Muhyiddin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/17/2021 08:29:00 PTG

Pemecatan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Benten tiada kaitan dengan isu pertambahan kuota haji kepada Malaysia ketika kunjungan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke negara itu baru-baru ini.

Malaysiakini melaporkan menurut sumber kerajaan, isu penentuan kuota haji hanya boleh diputuskan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud penjaga dua masjid suci bagi umat Islam.

"Menteri haji dan umrah tiada hak tentukan kuota haji termasuk untuk Malaysia. Tugasnya ialah pastikan urusan haji dan umrah setiap tahun jalan lancar.

"Untuk dapatkan kuota haji, perlu rundingan khusus antara keluarga Diraja Saudi dan sesebuah kerajaan. Dalam konteks Malaysia, rundingan perlu terus dilaksanakan dengan keluarga Diraja Saudi.

"Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak bertemu menteri haji dan umrah semasa lawatan ke Arab Saudi," katanya dipetik Malaysiakini.

Pada 13 Mac lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menggantikan Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Saleh Benten, beberapa bulan selepas kerajaan itu menjadi tuan rumah ibadah haji terkecil dalam sejarah moden akibat pandemik Covid-19.

Portal The New Arab melaporkan, Muhammad Saleh Benten ditamatkan tugas sebagai Menteri Haji dan Umrah, kata agensi berita rasmi Arab Saudi (SPA), memetik keputusan kerajaan.

Beliau digantikan oleh Essam bin Saeed, yang akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Negara.

Arab Saudi menjadi tuan rumah ibadah haji tahunan pada akhir Julai lalu, pada skala terkecil dalam sejarah moden.

Dalam pada itu sumber berkata apa yang berlaku itu adalah masalah dalaman negara berkenaan dan tiada kaitan dengan lawatan perdana menteri.

"Isu pemecatan ini ialah hal dalaman Kerajaan Arab Saudi. Ia tiada kaitan dengan Malaysia mahupun kuota haji," katanya seperti dilapor Malaysiakini.