Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota Haji, lawatan ke Arab Saudi sangat berjaya - Muhyiddin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/10/2021 08:48:00 PTG
RIYADH – Malaysia memperoleh tambahan 10,000 kuota haji, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, beliau membuat permohonan itu ketika menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Al-Yamamah di sini pada Selasa (Rabu di Malaysia).

“Apabila situasi haji kembali normal berikutan pandemik COVID-19, permintaan kita diluluskan,” katanya kepada media Malaysia pada penghujung lawatan rasmi empat harinya ke negara itu.

Beliau berkata, Putera Mahkota memberikan jawapan positif dan jaminan kerana negara itu mengalu-alukan jemaah Malaysia yang terkenal dengan tingkah laku yang baik, berdisiplin dan kurang menimbulkan masalah.

Makkah dan Madinah juga masih dalam proses perluasan bagi menampung lebih ramai jemaah pada masa hadapan, kata Muhyiddin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi sebagai sangat berjaya.

“Ia sangat berjaya,” kata beliau semasa mengakhiri lawatan pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Selain meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, lawatan itu juga  membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia.

Antara perkara penting yang dicapai adalah tambahan 10,000 kuota jemaah haji serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Perkara lain termasuk perbincangan mengenai kemungkinan Arab Saudi meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat. 

- BERNAMA