Kuarantin di rumah hanya untuk golongan kaya lagi berkuasa? soal Guan Eng

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/27/2021 06:13:00 PTG
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempertikaikan rasional Kementerian Kesihatan membenarkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara menjalani kuarantin di rumah yang dianggap satu lagi contoh amalan “dua darjat”.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa kuarantin di rumah seolah-olah bukan pilihan untuk rakyat biasa yang pulang dari luar negara.

Lim memetik kes S Mani Vannan, juruterbang Singapore Airlines, yang tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah untuk menjaga ibunya yang menghidap kanser, walaupun telah mengambil tujuh ujian Covid-19 dan divaksin di Singapura.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Santhara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah kerana pulang dari negara berisiko rendah, selain mempunyai rumah sesuai untuk tujuan itu.

Menyifatkan alasan itu mengecewakan, Lim berkata, senario itu tiada bezanya dengan kejadian melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang hanya didenda RM1,000 kerana gagal menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari Turki, tahun lalu.

“Penjelasan Noor Hisham menimbulkan persoalan mengenai syarat-syarat bagi rumah yang sesuai untuk arahan kuarantin. Adakah hanya jika ia rumah mewah atau dimiliki orang kaya dan berkuasa?” soal Lim.

“Amalan membezakan dua darjat antara orang kaya dan berkuasa, dan rakyat biasa seperti ini menunjukkan sikap bongkak dan penghinaan kepada prinsip kebenaran.”

Beliau menggesa kerajaan berhenti bersikap angkuh dan seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan hanya kerana Parlimen masih digantung.

Santhara baru-baru ini dibenarkan menjalani kuarantin di rumah selepas percutian kontroversi selama 55 hari ke New Zealand untuk melawat keluarganya ketika sekatan perjalanan akibat Covid-19 dilaksanakan.

Noor Hisham berkata, KKM melakukan penilaian risiko dan mengambil kira semua faktor serta tempat kuarantin dalam mencadangkan lokasi kuarantin.

Sumber: Free Malaysia Today