KPN Hamid Bador rela dikutuk dedah salah laku polis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/20/2021 09:44:00 PTG
Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pasukan Polis Diraja Malaysia adalah milik negara dan orang ramai. — Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Tindakan membuka ‘pekung’ masalah salah laku dan integriti dalam kalangan segelintir pegawai dan anggota polis, jelas menunjukkan polis tidak memilih ‘bulu’ dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, walaupun langkah itu banyak mendapat kritikan seolah-olah pasukan itu membuka pekungnya sendiri, ia juga membuktikan polis tidak pernah melindungi anggota dan pegawainya yang melakukan kesalahan.

“Saya sendiri sanggup berkongsi cerita yang tidak baik itu sebagai pengajaran kepada anak buah di bawah, selain memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa polis tidak bersekongkol melindungi kegiatan jijik ini.

“Saya juga tidak berasa malu, biarlah orang kutuk saya sudah berapa tahun jadi Ketua Polis Negara tapi tidak dapat selesaikan perkara ini, namun saya terima dan kekal fokus dalam menjalankan tugas,” katanya dalam wawancara bersama Ketua Polis Negara bersiaran langsung di Facebook rasmi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata pasukan Polis Diraja Malaysia adalah milik negara dan orang ramai mempunyai hak mendapatkan perkhidmatan terbaik.

Abdul Hamid berkata pendedahan berhubung orang di bawahnya dilapor mempunyai pelbagai kenderaan dan gaya gaya hidup mewah, walau tidak setara dengan jawatan serta gaji bulanan mereka dijadikan penanda aras baharu pengurusan PDRM dalam membasmi masalah itu. \

- Sumber: Bernama via The Malay Mail