Kompaun RM10,000 - Zahid gesa kerajaan jangan pukul rata kaji semula

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/17/2021 09:54:00 PTG
Zahid menggesa kerajaan Muhyiddin kaji semula kompaun langgar SOP sebanyak RM10,000 - Foto Free Malaysia Today 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan PN supaya mengkaji semula kompaun sehingga RM10,000 terhadap individu yang ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Nilai kompaun dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 di bawah Ordinan Darurat banyak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat," katanya pada satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Kata Zahid, pelaksanaan peraturan baru Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu dilaksanakan ketika "sebilangan rakyat masih keliru tentang SOP yang ditetapkan kerajaan."

"Kini mereka berisiko dikompaun sehingga RM10,000 jika tersalah faham berhubung SOP tersebut," katanya.

Zahid turut menyasarkan unit propaganda kerajaan, Jasa yang dijenamakan semula sebagai J-Kom, berkata J-Kom patut memberi kesedaran dan meningkatkan pemahaman rakyat terhadap pematuhan SOP.

"J-KOM dengan peruntukkan lebih RM40 juta sewajarnya berusaha memahamkan rakyat tentang SOP ini terlebih dahulu.

"Inilah peranan yang sepatutnya oleh J-KOM, bukan sebaliknya," katanya lagi.

Menurut Zahid menjadi fitrah manusia untuk tidak lari daripada melakukan kecuaian.

"Justeru, kompaun bertujuan untuk mendidik dan memperingati mereka, bukan untuk menekan hidup mereka," katanya.

Jelasnya, RM10,000 bukan jumlah yang kecil bagi golongan berpendapatan rendah.

"Jika gagal dilunaskan dalam tempoh tertentu mereka akan berdepan pendakwaan.

"Mungkin RM10,000 dapat memastikan golongan kaya raya sedikit sebanyak turut terkesan dengan nilai kompaun.

"Bagaimanapun 'jangan pukul rata' sehinggakan golongan berpendapatan rendah dan miskin terjebak sama," katanya.

Walaupun kompaun ini boleh dirayu, Zahid menyoal bagaimana cara untuk mengukur budi bicara pegawai yang diberi kuasa meneliti rayuan denda.

"Kompaun dikurangkan kepada RM8,999 juga boleh dianggap sebagai budi bicara.

"Sewajarnya ada 'guidelines' yang jelas dalam urusan budi bicara atau mungkin kompaun sehingga RM10,000 boleh ditetapkan berdasarkan klasifikasi pendapatan.

"Golongan T20 mungkin wajar dikenakan kompaun maksimum RM10,000, manakala M40 dan B40 berdasarkan pendapatan mereka atau kesalahan berulang seperti yang pernah disyorkan," katanya.

Presiden Umno juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha sedaya upaya mematuhi SOP pada setiap masa dan di mana jua.

"Bukan kerana semata-mata takut dikenakan tindakan keras dibawah Ordinan Darurat, tetapi kerana cakna terhadap keselamatan diri dan keluarga," kata Zahid mengingatkan rakyat.