Helikopter terhempas di Subang, semua penumpang selamat

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/24/2021 03:06:00 PTG
Kejadian helikopter terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, jam 9.18 pagi.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan kejadian helikopter terhempas berlaku di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang awal pagi tadi.

Nik Ezanee berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.18 pagi itu, seorang juruterbang dan pembantu juruterbang cedera manakala tiga penumpang terselamat.

“Saya hanya boleh sahkan ada helikopter terhempas di Bay 17 LTSAAS jam 9.18 pagi. Lima penumpang, seorang cedera. Mereka telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (MOT) sedang menyiasat punca kemalangan,” katanya secara ringkas menerusi grup WhatsApp, hari ini.

Kejadian helikopter terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, jam 9.18 pagi.

Terdahulu sebuah helikopter jenis Airbus H125 dinaiki lima lelaki terhempas di kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pagi tadi ketika membuat pendaratan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dalam satu kenyataan hari ini turut mengesahkan kejadian itu selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Menurut Norazam, semua mangsa disahkan selamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan kepala selepas penerbangan berlepas dari Terengganu.

“Seorang lelaki patah kaki kanan manakala seorang lagi cedera ringan di kaki. Tiga lagi tidak mengalami kecederaan. Semua mangsa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Norazam turut mengesahkan helikopter terbabit tidak mengalami kebakaran dan punca kejadian masih disiasat.