Faiz Fadzil disiasat polis tuduhan cabul wanita

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/23/2021 04:11:00 PTG
Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil menafikan tuduhan mencabul seorang wanita pada Januari lalu. - Foto ihsan Malaysia Gazette.

Adun dari Amanah, Faiz Fadzil Noor sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya atas dakwaan mencabul seorang wanita.

“Saya mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan polis ke atas saya. Saya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Faiz juga, buat masa ini, dia akan meneruskan tugasnya sebagai Adun seperti biasa.

Sebelum ini FMT melaporkan seorang pembantu kedai menuduh seorang ADUN Pulau Pinang mencabul kehormatannya, ketika mereka berjumpa untuk berbincang “hal politik semasa”, dua minggu lalu.

Wanita itu, yang juga turut terlibat aktif dalam parti, mendakwa diraba dan dipeluk wakil rakyat itu semasa mereka dalam perjalanan ke restoran di Lembah Klang.

Katanya lagi, ahli politik itu juga “melakukan perkara yang tidak diingini dan perjalanan menjadi agak panjang ke restoran itu”.

“Walaupun beliau mengetahui saya tidak senang dengan situasi itu, namun beliau tetap berkelakuan seperti itu,

“Beliau juga mengingatkan saya supaya tidak memberitahu sesiapa,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Menurut wanita itu, yang kata aktifnya dalam parti politik, mereka berjumpa sebelum kejadian kerana wakil rakyat itu ingin berbincang tentang “hal politik semasa” bersamanya.

Wanita itu berkata ADUN itu juga ingin membeli “hadiah” sempena ulang tahun kelahirannya, dan rasa berbesar hati untuk bertemu beliau.

“Ketika kami keluar dia menunjukkan perbuatan yang kurang menyenangkan,” menurut laporan itu, dan menambah di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, “saya dapat melihat beliau cuba mendekati saya bukan seperti ahli politik.”

Ketua Polis Subang Jaya, Khalid Othman yang mengesahkan laporan tersebut, berkata kes dikelaskan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.

Untuk rekod, Faiz Fadzil adalah seorang peguam dan anak lelaki kepada AllahyarhamTuan Guru Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden PAS.