Dalil terbaru: PH seperti ‘burung kasuari padang pasir’, kata Abdul Hadi

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/08/2021 09:04:00 PG
Hadi Awang obses dengan perlambangan binatangnya - Foto MalaysiaDateline

Selepas pelbagai jenis binatang kini tiba giliran burung kasuari pula jadi perlambangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengaitkan sikap Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Marang menulis menerusi 'Minda Presiden PAS' yang dikongsi di laman Facebook beliau mengguna dalil atau perlambangan 'burung kasuari membenam kepala dalam pasir' itu bagi menolak dakwaan bahawa PH tidak berpolitik.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu menganggap desakan PH agar Parlimen kembali bersidang sebagai berpolitik.

“Ada yang berkata, PH tidak berpolitiking, kononnya taat setia kepada titah Tuanku supaya tidak berpolitiking.

“Akan tetapi, mereka tetap juga berpolitiking mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.

“Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang,” katanya.

Untuk rekod, Pas dengan jumlah 18 kerusi Dewan Rakyat berpakat dengan kumpulan Muhyiddin daripada Bersatu dan kumpulan Azmin daripada PKR untuk membentuk kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN).

Walau bagaimanapun, Muhyiddin yang menerajui kerajaan PN pada masa ini hanya mempunyai 109 sokongan anggota Parlimen.

Mengulas genap setahun PN memerintah negara, Abdul Hadi menganggap perubahan kerajaan dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, “tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang”.

Bekas Menteri Besar Terenganu itu juga mendakwa ia adalah 'Langkah Kanan Bukan Langkah Sheraton'.