Da’i Syed dituduh rogol, seks luar tabii, laporan perubatan diserah kepada hakim

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/17/2021 12:22:00 PG
Daie Syed Shah Iqmal dituduh rogol dan cabul kehormatan - Foto Malaysiakini

Pihak pendakwaan telah menyerahkan dua laporan perubatan berkaitan kes rogol melibatkan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian memaklumkan perkara itu semasa kes itu disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rihaida Rafie hari ini.

Beliau berkata dua dokumen perubatan dari Hospital Shah Alam, dan Hospital Temerloh, Pahang juga telah diserahkan pihaknya kepada pihak pembelaan.

"Bagaimanapun satu lagi dokumen perubatan dari Hospital Kajang dan satu laporan kimia masih belum diserahkan dan akan diberi kepada pihak pembelaan dalam masa terdekat," kata Nor Baizura.

Peguam Syed Amirul Syed Edros mengesahkan menerima kedua-dua dokumen perubatan tersebut dan mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal, 25, mengaku tidak bersalah merogol seorang wanita berusia 23 tahun di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, pada 11.35 malam, 11 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Syed Shah Iqmal turut didakwa mencabul kehormatan seorang penuntut kolej swasta wanita di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii ke atas mangsa yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, 17 Okt 2020.

- BERNAMA