Agong perlu pastikan Parlimen bersidang dalam 6 bulan, kata Ku Li

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/05/2021 05:12:00 PG

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Agong perlu memastikan Parlimen bersidang dalam tempoh enam bulan selepas persidangannya yang terakhir. - Foto GemilangDaily

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata Yang di-Pertuan Agong perlu memastikan Parlimen bersidang dalam tempoh enam bulan selepas persidangannya yang terakhir.

Katanya, ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang wajib dipertahankan Agong serta perdana menteri.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, Agong mesti “sensitif dengan tanggungjawab kepada negara” apabila mempertimbangkan sebarang alasan untuk memprorog Parlimen.

“Mengikut perlembagaan Agong tidak patut membiarkan persidangan Parlimen menjangkaui tempoh enam bulan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu yang juga anggota keluarga diraja Kelantan, dalam kenyataan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, Kabinet tidak akan menasihati Agong untuk membenarkan Parlimen bersidang ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos.

Minggu lalu, Agong berkata persidangan Parlimen boleh diadakan ketika tempoh berkenaan. Parlimen digantung ketika Darurat diisytiharkan pada 12 Jan.

Takiyuddin berkata, tiada keperluan untuk Parlimen bersidang kerana Agong boleh menggubal undang-undang menerusi Ordinan Darurat. Katanya, kerajaan bimbangkan kesihatan dan keselamatan wakil rakyat di Dewan Rakyat yang kebanyakannya berusia melebihi 60 tahun.

Berhubung hujah peguam bahawa prerogatif terletak pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan bila Parlimen bersidang semula, Tengku Razaleigh berkata mereka “silap”.

“Mereka tidak faham bahawa Malaysia terikat dengan perlembagaan, dan tiada prerogatif yang wujud sama ada dari segi sejarah atau perlembagaan.”

Sumber berita: Free Malaysia Today