Ustazah Asma' nasihat Ayda Jebat

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/11/2021 02:15:00 PG
Muzik video terbaharu, Ayda Jebat berjudul ‘Parah Parah’ menjadi trending di Youtube mendapat lebih satu juta tontonan tidak sampai dua hari.

Video klip yang memaparkan sekumpulan wanita menari mengikut rentak irama seakan dangdut itu dan berpakaian kurang sopan turut mendapat perhatian penceramah bebas popular yang dikenali Ustazah Asma’ Harun.

Portal Malaysia Gazette melaporkan melalui Facebook miliknya, Asma’ melahirkan rasa kecewa dengan video klip yang dihasilkan oleh seorang beragama Islam yang dilihat begitu keterlaluan lebih-lebih lagi pada saat diuji pandemik yang melanda dunia hari ini.

‘Buat adinda dihormati dan dikasihi. Sungguh saya pernah suka dengan bakat dan dirinya. Sungguh, saya terkejut dan terduduk sayu, atau mungkin kerana saya yang ketinggalan banyak Video Klip Muzik seumpama ini. Namun seingat atau setahu saya, belum pernah saya melihat video klip muzik yang dihasilkan oleh artis Melayu Islam hingga tahap ini.

“Ini satu Musibah Ummah yang PARAH, tatkala kita masih dalam belenggu cengkaman pandemik yang semakin PARAH, kalian menghasilkan sebuah video klip muzik yang menampilkan penyanyi dan penari iringan yang separuh bogel, dengan rentak dan lenggok tarian yang menggairahkan seperti tarian lucah, maaf ia sungguh memalukan!” tulisnya.

Menurut Asma’, dalam musim pandemik ini serta pelbagai tanda akhir zaman, tidak sepatutnya penyanyi itu berbangga menjadi trending di Youtube kerana ini boleh menjatuhkan maruah wanita Islam kerana maksiat yang dilakukan secara terbuka.

Bukan itu sahaja kata beliau, video ini juga boleh menggalakkan perbuatan zina mata dan pemuas nafsu lelaki.

“Saya tahu kamu adalah seorang muslimah, saya tak pasti samada penari iringan islam atau tidak. Saya juga tak pasti, penerbit, pengarah, penyunting, penulis lirik, kareografi tarian dan semua pihak yang terlibat muslim atau tidak, namun kalian semua terlibat.

“Saya yakin kalian melakukan ini dalam keadaan tahu dan faham bahawa klip video muzik tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar samada dari sudut Islam ataupun adat Melayu kita yang penuh sifat malu, lembut dan sopan.

“Ia jelas adalah satu dosa yang besar. Saya menuliskan ini daripada hati yang kasih akan kamu dan rasa hormat pada suami kamu. Ingatlah bahawa kemasyhuran, kekayaan, kasih cinta, pengaruh, bakat dan kecantikan bukanlah satu anugerah apabila digunakan untuk maksiat, ia adalah musibah! Kamu tersilap untuk percaturan kali ini, terutamanya bahagian penari iringan, Kerana kamu sendiri penampilan yang tidaklah keterlaluan,” katanya lagi.

Ustazah Asma’ juga meminta agar maaf atas teguran secara terbuka kerana ini merupakan tanggungjawab beliau sebagai seorang Islam.

Sementara itu, beliau turut meminta agar semua selebriti Malaysia membawa imej yang baik dan bermaruah menjaga batasan sebagai seorang Islam.

Beliau juga menyeru agar Kementerian Komunikasi Multimedia dan Seniman boleh turut memainkan peranan dalam isu sebegini.