Tun Mahathir kesal letak jawatan Perdana Menteri pada 2003

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/18/2021 03:55:00 PG
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kekesalan terbesarnya adalah melepaskan jawatan tersebut pada 2003 yang kemudiannya diganti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. - Foto Bernama

Sepanjang hampir 24 tahun menjadi Perdana Menteri (dua kali menerajui negara), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kekesalan terbesarnya adalah melepaskan jawatan tersebut pada 2003.

Menurut Dr Mahathir, tiada siapa menyuruhnya berhenti pada waktu itu namun tindakan berbuat demikian adalah atas kerelaannya sendiri.

“Saya masih popular, saya masih mendapat sokongan dua pertiga tetapi saya fikir sudah tiba masa saya letak jawatan sebab saya fikir saya sudah tua, umur lebih 70 tahun.

“Jadi saya fikir saya patut letak jawatan tapi saya tak sangka orang yang gantikan saya buat benda-benda yang sebabkan rakyat tidak senang dengan mereka,” katanya.

Astro AWANI melaporkan Dr Mahathir berkata demikian dalam program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian.

Ketika ditanya oleh Johan Jaaffar tidakkah beliau menyesal meletak jawatan kali kedua pada tahun lepas, ini jawapan beliau:

“Kali kedua saya terpaksa letak jawatan, parti saya dah jatuh,” katanya.

Pada 24 Februari 2020, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya runtuh dalam krisis politik negara ekoran tindakan Langkah Sheraton.

Serentak peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu parti yang memerintah negara bersama rakan-rakan komponen dalam PH.

Dr Mahathir mengambil alih kerajaan dan menjadi Perdana Menteri kali kedua pada usia 92 tahun selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Negarawan berusia 95 tahun itu juga merupakan Perdana Menteri keempat dari 16 Julai, 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai bekas perdana menteri yang menentang tiga Perdana Menteri bermula dengan Tun Abdullah Badawi, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin. 

Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah bagi skandal budak tingkat empat pejabat perdana menteri.

Najib Razak atau BossKu bagi skandal 1MDB dan SRC International.

Muhyiddin Yassin bagi kes 'Sheraton Move' [pengkhianatan pintu belakang / tebuk atap] dan terkini bagi kes pengisytiharan DARURAT yang menggantung sidang Parlimen.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz