Tun M - PRU15 rakyat tentukan "siapa" pimpin Malaysia

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/19/2021 04:35:00 PG
Rakyat yang akan menentukan siapa pemimpin terbaik untuk memimpin Malaysia sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat ini.Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pilihan itu terletak sepenuhnya pada rakyat.

"Banyak orang hendak jadi pemimpin. Mereka (rakyat) boleh pilihlah yang mana satu.

"Kalau mereka berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar (Ketua Pembangkang) layak, ok itu proses demokrasi," katanya dalam wawancara anjuran Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Tan Sri Johan Jaaffar tentang siapa yang bakal memimpin pembangkang sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menentang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, Pejuang tidak mempunyai pilihan lain sekiranya PH yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pada PRU15.

"Kalau dia (Anwar) menang (PRU15) saya hendak buat apa? Seperti mana sekarang ini (Tan Sri) Muhyididn jadi Perdana Menteri, saya tidak boleh buat apa," katanya.

Muhyiddin perlu buang sikap pilih 'penasihat' politik

Dalam wawancara tersebut Dr Mahathir turut berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuang sikap memilih 'penasihat politik' bagi membantu dirinya berdepan dengan darurat besar dalam negara ketika ini.

Menurut Dr Mahathir, sikap tersebut perlu dibuang Ahli Parlimen Pagoh itu sekiranya ingin kekal dengan jawatan yang dipegangnya ketika ini.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya melantik pakar dan penasihat dalam bidang berkaitan seperti yang dilakukan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak ketika berdepan darurat sebelum ini.

"Satu orang (Muhyiddin) sahaja tidak boleh hendak tangani semua ini, sepatutnya (buat) macam Tun razak dulu dia tubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dia (Tun Razak) ambil orang yang pakar dan penasihat.

"Jadi saya berpendapat bahawa kalau Muhyiddin hendak jadi Perdana Menteri, kita guna penasihat, guna penasihat yang ada pengalaman, bukan hendak jadi (pilih) orang parti (politik) penasihat, tidak guna," katanya dalam wawancara anjuran Sinar Harian

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sikap Muhyiddin yang memilih hanya individu yang menyokong aspirasi politiknya tidak wajar berlaku.

Katanya, Muhyiddin sebelum ini pernah memanggil bekas menteri yang pernah berkhidmat di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menemui dirinya.

Jelasnya, dalam pertemuan itu, Muhyiddin bertanya sama ada menteri itu menyokong dirinya atau sebaliknya.

"Dia (Muhyiddin) tanya awak (bekas menteri) hendak apa, kamu hendak menteri mana? Orang kata tidak mahu, (lalu) jadi musuh dia," katanya dipetik Sinar Harian.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz