Saya didesak kembali jadi PM, kata Dr Mahathir

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/19/2021 04:22:00 PG
Tun Dr Mahathir dalam wawancara anjuran Sinar Harian - Foto Rosli Talib & Asril Aswandi Shukor

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau sudah mengambil keputusan untuk berehat daripada politik selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003.

Bagaimanapun katanya, selepas seminggu keputusan dibuat ada pihak mendesak beliau kembali kerana ada yang mendakwa Perdana Menteri menggantikan tempat beliau gagal menjalankan tugas.

“Apabila saya letak jawatan pada tahun 2003, saya pun berharap akan dapat berehat, mungkin enjoy live sikit pi jalan sana-sini tetapi selepas seminggu saya letak jawatan (ada) orang datang minta (tolong).

“Tun tolonglah buat sesuatu kerana mereka berpendapat bahawa yang menjadi Perdana Menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik. Satu minggu sahaja sudah nampak berlainan keadaan (nya).

“Jadi mereka datang dan (seterusnya) rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Bagi saya, saya cuba nasihat (pemimpin terbabit) tapi nasihat tidak berkesan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika Wawancara Khas Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator di Studio F Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Dr Mahathir berkata, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada parti yang dianggotainya bagi memudahkannya membuat teguran.

“Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti (UMNO) dan menentang kerajaan (UMNO ketika itu),” katanya.

Rakyat yang akan menentukan siapa pemimpin terbaik untuk memimpin Malaysia sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pilihan itu terletak sepenuhnya pada rakyat.

"Banyak orang hendak jadi pemimpin. Mereka (rakyat) boleh pilihlah yang mana satu.

"Kalau mereka berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar (Ketua Pembangkang) layak, ok itu proses demokrasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya siapa yang bakal memimpin pembangkang sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menentang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, Pejuang tidak mempunyai pilihan lain sekiranya PH yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pada PRU15.

"Kalau dia (Anwar) menang (PRU15) saya hendak buat apa? Seperti mana sekarang ini (Tan Sri) Muhyididn jadi Perdana Menteri, saya tidak boleh buat apa," katanya.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz