Polis tahan lelaki guna wang bank silap masuk ke dalam akaun

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/28/2021 10:27:00 PTG
Jakarta: Seorang lelaki di Indonesia ditahan selepas menggunakan wang yang tersilap dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Media tempatan melaporkan lelaki berkenaan bertindak sedemikian selepas menyangka wang itu adalah komisen daripada hasil jualan kereta.

Namun, dana berjumlah 51 juta rupiah (kira-kira RM14,630) itu sebenarnya bukan miliknya.

Sebaliknya, pihak bank tersilap dengan memasukkan wang itu ke dalam akaunnya.

Tribunenews melaporkan Ardi Pratama, 29, dari Surabaya langsung tidak menyangka dia akan ditahan polis selepas wang itu dimasukkan secara salah ke dalam akaun Bank Central Asia (BCA) miliknya, pada 17 Mac tahun lalu.

Pada mulanya, dia menyangkakan ia komisen hasil jualan kereta mewah selepas dia berjaya menjual kenderaan itu.

"Duit itu digunakan abang saya dan dipindahkan kepada ibu saya untuk membayar hutang. Nilainya sekitar 30 juta rupiah (RM8,610)," kata adiknya Tio Budi Satrio.

Ardi memberitahu pegawai bank dia sudah pun menggunakan wang itu dan berjanji akan menggantikannya secara ansuran.

BCA memaklumkan wang itu dipindahkan ke akaun Ardi bernombor 829089620, sedangkan sepatutnya ia dimasukkan ke akaun bernombor 829089626 milik seseorang bernama Philip.

Perbezaan digit terakhir itu menyebabkan wang itu dimasukkan ke akaun yang salah.

Peguam Ardi, R Hendrix Kurniawan berkata, pada 27 Mac, anak guamnya sudah bersetuju untuk membayar semula wang itu secara ansuran.

"Kemudian, BCA mengemukakan saman pada 31 Mac. Pada 2 April, anak guam saya dipanggil BCA dan hasratnya untuk membayar secara ansuran, ditolak," katanya.

- Agensi