Polis ambil keterangan bapa, kakak suspek murtad wanita Islam

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/25/2021 06:00:00 PTG
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sudah mengambil keterangan bapa dan kakak suspek masing-masing berusia 64 dan 34 tahun untuk membantu siasatan. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Polis masih mengesan seorang lelaki yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam sehingga menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sudah mengambil keterangan bapa dan kakak suspek masing-masing berusia 64 dan 34 tahun untuk membantu siasatan.

“Mengikut keterangan bapa dan kakaknya, suspek berumur 29 tahun itu sudah lama tidak tinggal di rumah yang diperiksa polis tempoh hari,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan 34 kereta Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 kepada kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Ayob Khan memberi jaminan kes itu akan disiasat secara telus, adil dan saksama mengikut undang-undang dan orang ramai dinasihatkan supaya “tidak memanaskan” keadaan dengan mengeluarkan kenyataan atau provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dalam negara khususnya di negeri ini.

Video berdurasi tiga minit dan 26 saat yang menunjukkan seorang lelaki mengaku memurtadkan seorang perempuan Islam dipercayai isterinya, tular menerusi media sosial.

Susulan itu, satu pemeriksaan dijalankan polis di sebuah rumah di Perjiranan Dato Onn, Bandar Dato Onn pada 19 Feb lepas susulan maklumat bahawa orang ramai berkumpul di rumah itu kerana mengesyaki suspek berada di kediaman berkenaan.

Namun ketika pemeriksaan dibuat, hanya bapa dan kakak suspek yang berada di rumah itu.

Sementara itu, berkenaan program yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor Khaw Kok Chin itu, Ayob Khan berkata semua kenderaan pacuan empat roda bernilai RM5.3 juta itu akan diagihkan ke semua ibu pejabat polis daerah negeri ini bagi menggantikan kenderaan Land Rover yang lama digunakan polis.

“Kenderaan ini akan digunakan bagi tujuan operasi yang dilengkapi pelbagai aksesori tambahan seperti ‘weapon bracket’, radio kawalan jauh dan kamera kenderaan,” katanya.

- BERNAMA