Penyokong PAS terkejut, luruh jantung tengok gambar hitam putih Presiden

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/18/2021 04:58:00 PG

Hantaran di Facebook, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan mengenai Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundang kejutan warga maya.

Portal MalaysiaDateline milik Parti AMANAH  melaporkan sebilangan penyokong Pas mempersoalkan kewajaran Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu memuat naik gambar hitam putih Abdul Hadi yang kebetulan ketika ini sedang dirawat di IJN.

Nasrudin dalam tulisannya bertajuk “Guruku: Ujian ke atasmu melelahkan kami” antara lain menyatakan dadanya berdebar kencang sejurus menerima berita Abdul Hadi dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN).

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, melewati usia 74 tahun Abdul Hadi yang digelar Pas sebagai “Tuan Guru” sering diuji dengan kesihatan yang tidak menentu.

Dalam masa sama, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu, kata Nasrudin, berkejaran pula dengan jadual yang padat dan beban kepimpinan yang berat.

“Ayahanda Tuan Guru memang sangat dikenali sebagai insan yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dan murabbi ummah.

“Kita yang masih muda dan sihat ini pun kelelahan mengejar jadual aktiviti rutinnya. Bagaimanalah beliau memapah tubuh yang dimamah usia untuk menjulang panji perjuangan Islam di bumi tercinta ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, ramai menganggap Nasrudin tidak wajar memuat naik foto hitam putih seolah-olah Abdul Hadi sudah meninggal dunia.

“Berderau darah tengok posting ni ustaz. Jangan buat begini lagi ustaz. Cari gambar lain hok ade warna.

“Serius jantung macam nak luruh tadi. Allahurabbi. Mohon kesembuhan buat murabbi kami,” kata Abu Aqil.

Nada sama juga disuarakan Mohd Yusof yang menyoal, “Kenapa coretan macam dah tiada? Dia ada lagilah di IJN.”

Bukan sedikit juga yang bimbang kehilangan Abdul Hadi yang terkenal dengan Amanat Haji Hadi berusia 40 tahun itu.

“Gementar hati. Sangat takut kehilangannya (Abdul Hadi) walau tahu sampai masa dia tetap akan pergi,” kata Che Wan Zaimah.

Malam kelmarin, Abdul Hadi dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dari Hospital Putrajaya selepas mengadu agak sukar untuk bernafas.