Parlimen "mimpi ngeri’ Muhyiddin, halang kerajaan PN berkuasa penuh, kata Aziz Kaprawi

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/25/2021 06:40:00 PTG
Bekas Ahli Parlimen Sri Gading Ab Aziz Kaprawi berkata, melalui sidang Parlimen tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi krisis dapat disemak oleh Ahli Parlimen.

PETALING JAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong membenarkan persidangan Parlimen kembali diadakan dalam tempoh proklamasi darurat akan memberi kelegaan dan harapan agar amalan demokrasi berparlimen dapat disambung, sekali gus menghalang kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak sewenang-wenang.

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading Ab Aziz Kaprawi berkata, sejak proklamasi darurat dilaksanakan, belum ada mana-mana peruntukan bawah Akta Darurat diguna pakai bagi menangani wabak Covid-19.

Justeru katanya, rakyat melihat pelaksanaan darurat hanyalah “lesen” kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berkuasa sepenuhnya.

“Sepanjang tempoh darurat dan PKP yang diwartakan oleh kerajaan awal tahun lalu jelas menampakkan kelemahan dan kepincangan dalam menentukan SOP sehinggalah kepada perubahan pendirian mengenai pembukaan sekolah yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Rakyat sendiri mempersoalkan logik kerajaan apabila sedikit demi sedikit kelonggaran diberikan terhadap SOP, tetapi masih mewartakan majoriti negeri dalam keadaan perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan.

Agong berpandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat, iaitu pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri.

Menurut Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Aziz berkata, beliau percaya melalui sidang Parlimen segala tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi krisis dapat disemak oleh Ahli Parlimen supaya tidak berlaku perkara yang melibatkan kepentingan politik atau peribadi dalam keputusan yang diambil.

“Titah Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada tarikh yang ditetapkan kelak amat di alu-alukan rakyat, terutama bagi memastikan sistem demokrasi berparlimen berjalan dengan sempurna.

“Hal ini amat penting dalam menghadapi tiga krisis utama yang melanda negara kita, iaitu krisis pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis kerajaan minoriti,” katanya.

Sumber artikel penuh: Free Malaysia Today