Ordinan denda RM10K "rakyat miskin" jadi mangsa jika terlalu tinggi, kata Anwar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/27/2021 08:51:00 PG
Ordinan baharu 'Darurat' denda RM10 ribu jika melanggar SOP itu bakal berkuat kuasa pada 11 Mac ini. (Gambar Bernama)

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim membidas kerajaan selepas menaikkan denda kerana melanggar peraturan Covid-19 kepada RM10,000 dengan berkata keluarga miskin yang akan menjadi mangsa jumlah setinggi itu.

Free Malaysia Today melaporkan, dalam video dimuat naik ke media sosial, Presiden PKR itu mempersoalkan apa yang diutamakan kerajaan.

“Jika kerajaan melakukannya untuk memastikan peraturan dipatuhi, saya bersetuju namun ini hanya akan membebankan rakyat,” katanya dengan merujuk kepada beberapa kes orang kenamaan ‘terlepas’ hukuman berbanding orang biasa.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit) 2021 baharu yang diterbitkan di laman web Warta Persekutuan memperuntukkan seseorang boleh didenda sehingga RM10,000 kerana melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ordinan yang berkuat kuasa pada 11 Mac ini turut menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP boleh didenda sehingga RM50,000.

Susulan itu, Anwar berkata, walaupun memandang serius perbuatan mereka yang melanggar peraturan berkenaan, beliau tidak dapat menerima keadaan dianggap dwistandard.

“Saya menggesa kerajaan menyemak semula denda ini,” katanya dipetik FMT.