Menteri berucap bentuk pasukan pantau, kata Adibah Noor

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/20/2021 04:03:00 PG

Pelakon, pengacara dan penyanyi terkenal, Adibah Noor berkata, tiada salahnya jika menteri membiasakan diri menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan atau Melayu.

Adibah berkata demikian selepas menarik perhatian ramai pada 15 Feb lalu apabila memperbaiki sebutan bahasa Inggeris Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Kata Adibah ramai pemimpin dunia memilih untuk berucap dalam bahasa kebangsaan masing-masing kerana kandungannya tetap boleh diterjemah ke bahasa khalayak sasaran khususnya apabila dalam majlis rasmi.

“Teruskan saja berucap dalam bahasa kebangsaan. Ramai pemimpin dunia juga memilih untuk berucap dalam bahasa kebangsaan mereka dengan penterjemahan atau sari kata disediakan dalam bahasa Inggeris untuk tontonan audiens antarabangsa,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Rina menjadi buah mulut ramai selepas dilihat kekok semasa memberi ucapan dalam bahasa Inggeris pada persidangan Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-59 baru-baru ini.

Menjelaskan matlamatnya, pemilik nama penuh Adibah Noor Mohamed Omar itu berkata dia hanya mahu mendidik orang ramai memperbaiki sebutan bahasa Inggeris.

Melalui Twitter, bekas guru bahasa Inggeris itu memuat naik klip video cara sebutan yang betul untuk perkataan doubt diucap Rina sambil berkongsi ilmu dengan pengikutnya di media sosial.

Untuk rekod, Adibah pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris bermula dari 1993 hingga 1995.

Adibah, 50, berkata sekiranya seseorang menteri mahu berucap walau dalam apa jua bahasa sekali pun, mereka wajar mewujudkan pasukan yang boleh memantau proses tersebut.

“Wujudkan pasukan yang memantau sebutan, intonasi dan bahasa tubuh agar mesej dapat disampaikan dengan lebih baik. Bukan sekadar membaca saja,” katanya.

Untuk rekod wujud juga segelintir pihak yang berasa tidak setuju dengan cara pelakon drama bercorak komedi dan pendidikan Oh My English! itu membuat teguran ke atas Rina.

Malah ada yang menyifatkan Adibah sengaja mencari kesalahan individu berpengaruh bertujuan meraih populariti.

Mengulas hal tersebut, penyanyi Terlalu Istimewa itu berkata, dia sememangnya tidak boleh mengawal reaksi orang ramai.

“Yang boleh terima, alhamdulillah, kita belajar sama-sama. Yang tak boleh terima, tak mengapa. Semoga kita semua dapat manfaat daripada sikap kita,” katanya.

Untuk rekod, Rina yang juga ketua Wanita Bersatu itu bukanlan personaliti pertama ditegur Adibah.

Sebelum ini dia pernah membetulkan beberapa kesalahan sebutan dibuat pembaca berita TV3 semasa melafazkan wilderness, selain bunyi lirik dinyanyikan seseorang penyanyi popular.