Rosmah dibicarakan kes rasuah projek solar, mahkamah perintah bela diri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/18/2021 12:15:00 PTG
Datuk Rizal Mansor bekas pembantu peribadi menjadi saksi pendakwa kes Rosmah Mansor kes rasuah projek solar sekolah di Sarawak. Rosmah hadir bersama suaminya Najib Razak yang juga dibicarakan hari ini atas berkaitan 1MDB. - Foto Mkini

Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah Mansor untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor diarah membela diri atas tuduhan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi ketiga-tiga kes tersebut.

"Pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan. Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri," kata Zaini seperti dilapor portal Malaysiakini. 

Rosmah hadir di mahkamah pada pukul 9.20 pagi bersama suaminya Datuk Seri Najib Razak. Beliau yang memakai baju kurung berwarna kuning dan bertudung kelihatan tenang sejurus hakim mengarahkan untuk membela diri.

Perbicaraan terhadap Rosmah, 69 melibatkan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Malaysiakini melaporkan Rosmah diwakili barisan peguam diketuai Jagjit Singh, sementara bekas hakim mahkamah tinggi Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

Dalam pada itu, Zaini juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan memasukkan audio rakaman "darling can i advise you something" yang merupakan rakaman perbualan Najib dan Rosmah berserta transkrip sebagai bukti keterangan.

Pendakwa, Gopal Sri Ram menawarkan Najib sebagai di antara 10 saksi kepada pihak pembelaan Rosmah.

Jika didapati bersalah, Rosmah berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Rosmah dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).