Kit Siang umur 80 tahun, DAP terus berjuang

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/21/2021 02:24:00 PG
Lim Kit Siang veteran supremo DAP kini berusia 80 tahun.

oleh Liew Chin Tong

Sejak kempen ‘Battle of Tanjong’ yang pertama pada 1986, DAP telah membina asas untuk mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang; dengan Lim Kit Siang berpindah dari Melaka untuk bertanding di Pulau Pinang. ‘Tanjong II’ pada 1990 pula merupakan saat paling menghampiri kejayaan apabila DAP hanya kurang tiga kerusi daripada meraih majoriti mudah. 

DAP kalah teruk pada 1995, di Pulau Pinang dan di peringkat nasional yang memulakan tempoh panjang kemerosotan DAP sehinggalah ia berakhir pada 2008.

Pada 1999, kedua-dua gergasi DAP, Kit Siang dan Karpal Singh tidak berjaya kembali ke Parlimen. Ini memeranjatkan seluruh negara, kerana itulah kali pertama Kit Siang tewas dalam pilihan raya di peringkat Parlimen.

Setakat 1999, Kit Siang telah berkhidmat sebagai seorang Ahli Parlimen selama 30 tahun sejak 1969, dan sebagai Ketua Pembangkang selama 25 tahun (1973-1974; 1975-1999). 

Beliau bertindak dengan tangkas, dan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP pada 2 Disember 1999, 30 tahun selepas beliau dipilih oleh kepimpinan parti pada 1 Oktober 1969 untuk memegang jawatan tersebut ketika masih di dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Pada 3 Disember, Dr Chen Man Hin meletak jawatan sebagai Pengerusi dan dilantik sebagai Penasihat Seumur Hidup. Kit Siang mengambil alih sebagai Pengerusi manakala (mendiang) Kerk Kim Hock pula dipilih sebagai Setiausaha Agung. Mengikut struktur DAP, Setiausaha Agung merupakan jawatan tertinggi dalam parti.

Tekanan hebat daripada media yang dikawal kerajaan, pihak yang tidak sebulu dalam parti dan anggota masyarakat telah cuba memaksa Kit Siang untuk bersara terus daripada politik. Tempoh antara Disember 1999 sehingga Februari 2000 amat sukar bagi beliau. 

Sambil membalut luka kekalahan, beliau memberi pandu arah kepada DAP untuk menyesuaikan dengan lanskap politik baharu di mana PAS telah menjadi parti pembangkang terbesar. 

Beliau juga memainkan peranan sokongan sebagai Pengerusi dan bukan lagi berperanan sebagai Setiausaha Agung yang dipegangnya selama 30 tahun; dan yang paling penting sekali, beliau harus memutuskan sendiri sama ada mahu terus aktif dalam politik.

Sekiranya terus aktif, jalan ke hadapan adalah amat gelap tanpa secebis harapan. Dan situasinya pula langsung tidak pernah dihadapi oleh DAP sebelum ini – buat kali pertama sejak 1969, DAP sudah bukan lagi parti pembangkang terbesar; dan Kit Siang bukan lagi pemimpin ulung yang memberi erti kepada DAP. 

Tambahan pula, Tun Dr Mahathir Mohamad baru sahaja berjaya menghadapi cabaran terbesar terhadap kerajaannya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan gabungan pembangkang yang masih mentah serta kebangkitan politik Melayu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. 

Memandangkan Dr Mahathir telah menang, kita hanya boleh menjangka beliau akan terus kekal dan cubaan untuk menewaskannya akan lebih sukar selepas beliau berjaya menangani serangan 1999. Mahu teruskan atau tidak?

Pada tahun 2000, walaupun dalam usia yang tidak menghalang peluang kedua dalam mana-mana kerjaya, berada jauh dari dunia politik. Beliau boleh sahaja menyertai sektor swasta, atau merantau ke luar negara untuk mengajar atau membuat kajian, seperti yang dilakukannya sebagai felo pelawat di Research School of Pacific and Asian Studies (RSPAS), Universiti Kebangsaan Australia (ANU) antara April dan Jun 2000.

Kit Siang memberitahu saya pada 2016, “Dalam hal itu, memang ada usaha saya mencari diri. Saya tanya pendapat orang ramai. Perjuangan telah terlerai dan perlu diteruskan jadi ia berkesudahan dengan keputusan akhir itu. Keadaannya juga berbeza, bekerja di luar Parlimen. Saya perlu betulkan tapak perjuangan.” 

Pada ketika ini, saya ikut serta dalam sesi sembang santai dengan Kit Siang dan menyaksikan kesedihannya pada masa yang sama. Sambil melayan kesedihannya itu, akalnya juga dilimpahi idea tentang jalan ke hadapan.

Media kawalan BN serta mereka yang tidak sehaluan dengan Kit Siang tidak puas hati dengan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung DAP. Mereka mencipta naratif bahawa beliau mesti bersara daripada politik kerana beliau telah ditolak oleh masyarakat. 

“Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak akan tunggu walau sehari pun untuk pergi jika saya telah terlalu lama bergayut dalam politik tanpa apa-apa sumbangan,” katanya kepada media yang memburunya selama lebih dua bulan.

Pada 13 Februari 2000, Kit Siang mengumumkan bahawa beliau akan terus berjuang. Usia tidak menjadi soal. Dua perkara yang dipertimbangkan adalah ‘sama ada kedudukan di dalam DAP telah melampaui had masa yang sepatutnya, dan sama ada beliau telah melampaui tempoh berguna kepada parti, masyarakat dan negara.’

Ada rasa putus asa dalam kalangan masyarakat tentang bagaimana untuk mengawasi kerajaan UMNO-BN pimpinan Mahathir. Kit Siang berkata bahawa beliau merasa masih mempunyai peranan politik untuk dimainkan bagi menggerakkan suara orang ramai dan kuasa-kuasa bagi menentang senario yang begitu kelam.

DAP dan Malaysia mendapat manfaat yang begitu besar daripada khidmat berterusan beliau dua puluh tahun kemudian.

Walaupun ramai yang terkejut dengan kekalahannya, anak perempuannya Hui Ying mengamati, bagai ironi, Kit Siang menganggap kekalahannya di kerusi Parlimen pada 1999 tidak seburuk kemenangannya di kerusi Tanjong pada tahun 1995 kerana DAP menerima kekalahan teruk (pada 1995). Kit Siang menyatakan dalam satu mesyuarat parti pada Januari 2000 bahawa:

“Selepas kekalahan pilihan raya 1995, kepimpinan dan akar umbi DAP semuanya hilang semangat, mengakibatkan perpecahan dan mencari salah; lalu parti membazirkan beberapa tahun dalam pertembungan dalaman yang merosakkan.

Apabila kepimpinan parti menyeru supaya dilakukan suatu perubahan, dan saya katakan ‘Reform or Die’, ada pimpinan yang berlalu pergi sambil mengomel ‘Reform and Die’. Pun begitu setelah mereka meninggalkan parti, mereka mendabik dada mengaku merekalah juara perubahan parti.”

Inilah satu sebab penting kenapa usaha perubahan parti yang dilancarkan selepas kekalahan pilihan raya 1995 gagal. Kali ini, selepas kekecewaan pada 29 November 1999, kepimpinan dan akar umbi parti kebanyakannya bersatu padu, dan wujud keazaman kukuh serta komitmen untuk mula bekerja supaya BN tidak dibiar menghancurkan peluang politik untuk membawa anjakan paradigma dalam politik Malaysia – dan menyelamatkan peluang membentuk semula lanskap politik Malaysia walaupun terlewat lima tahun.”

Walaupun saya sudah bergiat aktif dalam parti, saya tidak berpeluang menghadiri persidangan tersebut dan justeru tidak tahu tentang ucapan ini sehinggalah saya membacanya pada Oktober 2020 ketika menulis buku ini.

Saya amat kagum dengan kemampuan Kit Siang untuk mengukur sentimen awam yang mahu menyelamatkan DAP dan melihat DAP berubah, walaupun masa depan politiknya sendiri tidak menentu. 

Dua puluh tahun kemudian, saya adalah antara rekrut parti hasil daripada tempoh yang penuh pergolakan itu. Saya mula bekerja untuk Teresa Kok yang baru sahaja dilantik sebagai satu-satunya staf beliau pada 16 Disember 1999, dan menghantar borang keahlian seminggu kemudian. Kad keahlian saya menyatakan tarikh rasmi saya menyertai parti ialah 4 Januari 2000. Saya masuk parti kerana saya merasakan ‘DAP perlu dibantu. Kita tidak boleh membiarkan parti ini dibunuh daripada arena politik Malaysia begitu sahaja’.

Ramai yang bersependapat turut aktif dalam DAP pada waktu ini, seperti rakan saya Anthony Loke yang menyertai DAP pada usia 17 tahun pada tahun 1994 dan menjadi staf parti sepenuh masa bekerja sebagai setiausaha politik kepada Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung yang baharu pada tahun 2002. Seorang lagi pemimpin generasi itu, Nga Kor Ming, dipilih oleh rakyat sebagai ADUN Pantai Remis dalam pilihan raya 1999.

Orang luar mungkin tidak faham sepenuhnya esprit de corps dan kegigihan pemimpin DAP generasi kami. 

Kit Siang menjadi inspirasi kami menyertai politik, di saat paling malang buat DAP. Kami diketawakan kerana menaiki kapal yang sedang karam. 

Kejayaan selepas 2008 sememangnya pengalaman yang wajar diraikan, tetapi saat kejatuhan dan rintangan yang ditempuhi, seperti keputusan pilihan raya 2004, kegagalan menjadi kerajaan pada 2013 dan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, adalah ujian dan cabaran yang saya rasakan kita telah dipersiapkan untuk menghadapinya.

Pada dasarnya, kami datang entah dari mana. Seperti mereka yang mengasaskan DAP pada 1966, kami tidak menjangka untuk menang atau menjadi kerajaan ketika memulakan perjalanan ini 20 tahun lalu.

*Liew Chin Tong - Ini merupakan terjemahan petikan daripada buku terbaru yang sedang saya usahakan bersama Wan Hamidi Hamid- Lim Kit Siang: Patriot. Leader.Fighter.– sebagai penghormatan buat Kit Siang sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80.