Jurutera ditipu RM20,000 individu menyamar kawan di WhatsApp, kawan sebenar WhatsApp telah digodam

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/28/2021 10:41:00 PTG
Alor Setar: Jurutera sebuah syarikat di Kulim Hi Tech dekat sini, kerugian RM20,000 selepas menerima mesej WhatsApp daripada lelaki yang menyamar sebagai 'kawan' bernama Zamri yang terdesak mahu meminjam wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 56 tahun itu menerima mesej berkenaan pada 8.36 malam tadi ketika dia berada di sebuah pasar raya di Jalan Pegawai di sini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, dia menerima mesej daripada 'kawan' yang dikenali yang mahu meminjam wang sebanyak RM5,000.

"Tanpa membuat semakan terlebih dahulu, mangsa terus membuat pindahan wang sebanyak empat kali ke tiga akaun berbeza secara perbankan Internet berjumlah RM20,000.

"Bagaimanapun, mangsa mula curiga dan sedar ditipu apabila suspek terus meminta wang untuk membuat pindahan wang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian menghubungi Zamri yang sebenar dan rakannya menafikan menghubungi mangsa untuk meminjam wang.

Menurutnya, rakan mangsa memberitahu WhatsApp miliknya sudah digodam selepas menyerahkan nombor kod WhatsApp yang diterima kepada nombor yang tidak dikenali.

"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di sini, untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kes ditipu kenalan sepanjang tahun lalu merekodkan 25 kes yang membabitkan kerugian berjumlah RM100,216.76.

"Bagi Januari dan Februari tahun ini, jumlah ditipu kenalan dicatatkan sebanyak 11 kes membabitkan kerugian RM49,935.15 dan ini menunjukkan peningkatan yang sangat ketara," katanya.

Menurut Elias, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai jangan mudah percaya pada panggilan atau WhatsApp daripada orang yang tidak dikenali dan mendakwa kenalan lama atau keluarga kerana suspek berkemungkinan menggunakan gambar rakan dan keluarga untuk menipu.

Beliau berkata, buat pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi rakan atau keluarga anda melalui nombor telefon sebenar mereka dan berhati-hati berkongsi maklumat peribadi di media sosial supaya tidak disalahgunakan sindiket penipuan.

"Bukan itu saja, orang ramai juga disarankan supaya tidak membenarkan kenalan anda untuk menggunakan akaun bank sebagai akaun tumpang kerana dikhuatiri untuk tujuan penipuan," katanya dipetik Harian Metro.