Jho Low pindah wang ke akaun suami Zeti, Singapura maklumkan BNM

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/28/2021 11:39:00 PG
Bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan pelarian skandal kewangan terbesar dunia 1MDB Jho Low. - Foto FMT

KUALA LUMPUR: Polis Singapura berkongsi maklumat dengan Bank Negara (BNM) mengenai transaksi mencurigakan akaun bank milik syarikat suami dan anak Zeti Akhtar Aziz, melibatkan wang daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, pada 2015 dan 2016.

Zeti masih gabenor BNM pada 2015 apabila Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) polis Singapura berkongsi maklumat dengan bank pusat itu, mengenai transaksi akaun bank milik Iron Rhapsody Ltd, yang dimiliki Tawfiq Ayman, dan seorang anak lelaki mereka, menurut laporan The Edge.

Iron Rhapsody, menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Low, pada 2008 dan 2009, kata laporan itu lagi, menurut dokumen yang dikongsi CAD dengan penyiasat di Malaysia.

Zeti bersara sebagai gabenor BNM pada April 2016.

Zeti “mungkin cukup tahu” mengenai akaun bank yang dimiliki suaminya di Singapura, menurut The Edge, yang membuat rumusan itu berdasarkan dokumen yang ditelitinya.

Zeti sebelum ini menafikan ahli keluarganya menerima dana 1MDB walaupun suami dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB di dalam akaun mereka, menurut akuan berkanun (SD) yang ditandatangani mereka pada Mac 2019.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

Tawfiq Ayman, dan anak mereka, Abdul Aziz dan Alif Ayman Aziz, menguruskan akaun itu bawah nama Cutting Edge Industries LTd, yang berpangkalan di Singapura.

Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun mereka itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd, yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada Low.

Menurut The Edge, polis Singapura menghubungi BNM mengenai transaksi mencurigakan akaun Iron Rhapsody pada 2015, selepas beberapa negara, termasuk Malaysia, melancarkan siasatan mengenai penyelewengan dan penggubahan wang berbilion ringgit milik 1MDB.

The Edge turut melaporkan bahawa Ayman bersama Low adalah rakan kongsi syarikat Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corp (ADKMIC) yang ditubuhkan pada 2007.

Dari Jun 2011 hingga Sept 2013, siasatan CAD mendapati USD153 juta dipindahkan ke akaun ADKMIC di Singapura dari akaun Good Star Ltd di Switzerland, menurut The Edge.

Good Star dimiliki oleh Low. Syarikat itu dilaporkan menerima USD700 juta daripada 1MBD pada 2009 secara haram.

Sumber: Free Malaysia Today