Hotel di Kelantan terjejas teruk, mampu bertahan 2 bulan saja

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/12/2021 12:31:00 PTG
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kelantan meminta kerajaan menimbang membenarkan pergerakan merentas daerah yang diyakini dapat memberi nafas baharu kepada 17 hotel bertaraf dua hingga lima bintang di seluruh negeri itu. - Foto FMT

KOTA BHARU: Industri perhotelan di Kelantan kini semakin tenat dan dijangka hanya mampu bertahan dua bulan saja lagi sebelum kebanyakan hotel yang beroperasi terpaksa ditutup, kata Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kelantan Maimun Mohd Hussain.

Justeru, beliau meminta kerajaan menimbang membenarkan pergerakan merentas daerah yang diyakini dapat memberi nafas baharu kepada 17 hotel bertaraf dua hingga lima bintang di seluruh Kelantan.

“Pada masa ini rata-rata pihak pengurusan hotel terpaksa mengambil tindakan drastik seperti hanya membayar separuh gaji, memberi cuti tanpa gaji, malah ada terpaksa mengurangkan pekerja.

“Sekiranya kelonggaran ini diberikan, hampir 2,000 kakitangan hotel di seluruh negeri dapat ‘diselamatkan’ daripada diberhentikan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan kerajaan negeri dalam usaha persatuan memastikan kesinambungan operasi hotel bawah naungannya.

“Antara yang kami minta ialah diskaun 70% pengurangan bagi lesen perniagaan hotel kerana jualan bilik sekarang bawah 50%, selain sumbangan insentif sebanyak RM10,000 bagi setiap hotel di bawah MAH

“Selain itu, potongan 50% pembayaran bil air di bawah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan diskaun 50% cukai bandar dan lain-lain cukai yang berkaitan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sekiranya sektor perhotelan dapat beroperasi sepenuhnya seperti sedia kala.

“Besar harapan kami agar rayuan ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan bagi menyelamatkan bidang perhotelan. Pihak kami memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh dalam memastikan SOP dipatuhi untuk mengekang penularan wabak Covid-19 membabitkan sektor perhotelan,” katanya. - Bernama