Bersatu bagi jawatan TPM kepada UMNO elak pertembungan PRU15

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/18/2021 03:52:00 PG
Naib Presiden UMNO dilaporkan berkata sebelum ini, isu jawatan TPM tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan. - Foto Astro Awani

Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO dianggap cara terbaik untuk mengelakkan pertembungan antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum kelak.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, berkata saranan memberikan jawatan itu kepada UMNO adalah wajar terutamanya dalam meraikan hubungan strategiknya dengan Bersatu.

“Tak salah untuk lantik mana-mana pemimpin UMNO yang terkemuka, yang sedang berada dalam Kabinet hari ini. Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk dilantik menjadi TPM.

“Pelantikan ini tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerana keutuhan jawatan Perdana Menteri masih jelas dan beliau boleh koordinasi Kabinet dengan baik,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, kestabilan politik adalah elemen penting dalam pentadbiran negara dan seharusnya ia menjadi tumpuan utama kerajaan.

“Tindakan itu (beri jawatan TPM) juga menjuarai hasrat penyatuan parti-parti yang berada dalam rumpun UMNO... Bersatu dan Pas juga mempunyai ideologi hampir sama iaitu nasionalis Islamik pragmatik.

"Bila UMNO dan Bersatu berasal daripada satu rumpun, sepatutnya mereka lebih mudah berbincang dan bekerjasama menjayakan penyatuan parti Melayu Islam bersama Pas,” ujarnya.

Baru-baru ini, UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan TPM kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengepalai parti BERSATU sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu jawatan TPM tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Lebih-lebih lagi, tegas Ahli Parlimen Bera itu, apabila tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet selain Menteri Kanan Pertahanan yang disandang beliau ketika ini.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz