Bapa dituduh rogol anak tiri 15 tahun dalam kereta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/18/2021 08:45:00 PTG
Lelaki itu didakwa merogol anak tirinya di dalam sebuah kereta di Jalan Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan merogol anak tiri perempuannya yang berusia 15 tahun, di dalam sebuah kereta, pada 4 Februari lepas.

Astro AWANI melaporkan tertuduh yang berusia 43 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak tirinya di dalam sebuah kereta, yang diletakkan di tepi jalan di Jalan Bagan Jermal, Butterworth pada jam 6.30 petang, 4 Februari lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai penjamin, selain mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit paru-paru dan buah pinggang serta masih menerima rawatan di hospital.

Noor Aini kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi keputusan perubatan dan laporan DNA.