Umno bukan parti tak sedar diri, pisang tak berbuah dua kali, tulis Zahid

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/25/2021 02:36:00 PTG
Zahid Hamidi menjadi Presiden Umno pertama yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan setelah kekalahan Umno BN pada PRU14 - Foto Bernama

Seri Kembangan: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan bahawa UMNO akan bangkit dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kembali berkuasa semula.

Zahid berkata, kejatuhan UMNO dalam PRU yang lepas tidak menghalang parti tersebut untuk bangun dan berjuang semula.

Zahid menulis sebuah kenyataan pendek dipercayai sebagai menjawab laporan media yang menyiarkan desakan beberapa ahli Umno yang mendesak beliau melepaskan jawatan tertinggi parti melayu tersebut.

“UMNO tahu suatu ketika ia pernah tewas angkara fitnah dan pembohongan.

“UMNO berusaha bangkit dan Insya-ALLAH kebangkitan UMNO sedang berlaku.

“UMNO bangkit dalam diam penuh hikmah. UMNO bangkit tanpa melukut di tepi gantang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, parti berkenaan mempunyai pendekatan baharu bagi menjamin kedudukan UMNO.

“Bertawakal pada Tuhan - UMNO tahu apa yang patut dilakukan. Pisang tidak berbuah dua kali,” katanya.

Zahid Hamidi juga antara pimpinan Umno yang berdepan pendakwaan jenayah. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dengan perbicaraan bermula 12 April nanti.

Pengasas Yayasan Akalbudi itu turut dihadapkan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana yayasan itu.