Tiga beradik larikan mayat bapa dituduh di mahkamah Isnin depan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/23/2021 11:35:00 PTG

LAHAD DATU - Tiga beradik yang bertindak membawa lari mayat bapa mereka dari Hospital Lahad Datu pada Rabu lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada Isnin depan.

Seorang lagi tidak dikenakan tindakan selepas keempat-empat mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad dilapor Sinar Harian berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Timbalan Pendakwa Raya telah bersetuju untuk menuduh tiga tertuduh di bawah Seksyen 22(a) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Hanya tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada Isnin, manakala salah seorang daripada mereka telah dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan kes itu pada Sabtu.

Khamis lalu, media melaporkan tindakan empat beradik termasuk seorang wanita berusia 26 hingga 31 tahun membawa pulang jasad bapa mereka dari hospital yang berstatus Pesakit Bawah Siasatan (PUI).

Keempat-empat mereka kemudian ditahan di Kampung Panji pada hari kejadian selepas menerima laporan daripada petugas perubatan di hospital terbabit.

Anggota polis yang melakukan siasatan kemudian menemui mayat bapa suspek ditemui di kawasan ruang tamu rumah.