Rusuhan ‘lockdown’ di Belanda makin buruk, polis tahan 240 orang

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/25/2021 11:59:00 PTG


Sebuah pusat ujian Covid-19 dibakar di Urk pada hari Sabtu. (Gambar AP)

AMSTERDAM: Perusuh menjarah kedai-kedai, membakar dan bertempur dengan polis di beberapa bandar di Belanda semalam, yang membawa kepada lebih daripada 240 penangkapan, menurut polis dan media Belanda.

Pergolakan itu tercetus pada hari kedua sekatan baru yang lebih ketat berkenaan Covid-19 dilaksanakan, termasuk perintah berkurung pada waktu malam, yang mendorong demonstrasi.

Polis menggunakan meriam air, anjing dan pegawai berkuda untuk meleraikan protes di pusat Amsterdam petang semalam, kata saksi. Hampir 200 orang yang sebahagiannya melemparkan batu dan bunga api, ditahan di bandar, kata polis.

Penyiar nasional NOS berkata, polis rusuhan telah dikerahkan di sekurang-kurangnya 10 bandar dan kota selepas perintah berkurung bermula jam 9 malam. Kenderaan dibakar, polis dilempari batu dan harta benda awam dimusnahkan, lapornya.

Menerusi catatan di Twitter malam tadi, polis militari berkata, mereka memberi sokongan kepada polis tempatan di sekurang-kurangnya dua bandar di selatan.

Imej-imej di saluran televisyen Belanda menunjukkan sekumpulan pemuda menjarah kedai, melempar basikal dan membakar di Eindhoven. Sekurang-kurangnya 55 orang ditangkap, kata bandar itu dalam satu kenyataan.

Demonstrasi di Museum Square di bandar tersebut yang melanggar larangan mengadakan perhimpunan awam, tercetus sehari setelah kerajaan mengumumkan perintah berkurung pertama sejak Perang Dunia Kedua.

Parlimen memilih secara tipis minggu lalu untuk meluluskan perintah berkurung, atas pengaruh pernyataan bahawa varian Covid-19 yang pertama kali dikesan di Britain akan menyebabkan lonjakan kes baharu.

Jangkitan baharu di Belanda secara amnya menurun selama sebulan, dan turun lagi semalam, kepada 4,924 kes baru. Terdapat 13,540 kematian di Belanda akibat jangkitan Covid-19 dan 944,000 jangkitan. - Reuters